UMUMKAN HARTA TUN DAIM
Empat parti alternatif, PAS, KeADILan, PRM dan DAP mencabar Perdana Menteri mengisytiharkan kepada umum harta para menterinya terutama Tun Daim Zainuddin.
Perdana Menteri juga dicabar mengumumkan bagaimana mereka memperolehi harta kekayaan tersebut.
Cabaran ini dibuat oleh para pemimpin tersebut dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama oleh ke empat-empat pemimpin parti alternatif itu.
Mereka adalah Dato' Haji Fadzil Mohd Noor (Presiden PAS), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail (Presiden KeADILan), Dr Syed Husin Ali (Presiden PRM) dan Lim Kit Siang (Setiausaha Agung DAP).
Dalam kenyataan bersama itu juga, mereka berkata, tindakan Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad menuduh kroni Dato' Seri Anwar mempunyai harta RM230 juta disifatkan bertindak sebagaimana bekas Ketua Polis Negara memukul Anwar dalam keadaan bergari dan matanya ditutup.
Ini kerana, Anwar tidak berupaya membalas balik tuduhan itu kerana Anwar telah terlebih dahulu dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun.
Dalam kenyataan bersama itu juga, mereka mencabar Dr Mahathir, menamakan kroni Anwar yang dimaksudkan olehnya itu dengan segera.
Mereka juga mencabar Dr Mahathir menyiarkan kepada umum harta-harta yang dimiliki oleh dia sendiri, isteri, anak-anaknya, rakan-rakan serta rakan-rakan isterinya serta bagaimana mereka memperolehi harta itu.
Perdana Menteri juga dicabar agar mengisytiharkan kepada umum harta para menterinya serta keluarga mereka secara langsung atau melalui penama serta bagaimana mereka mendapatkannya.
"Jika Dr Mahathir gagal menyahut cabaran ini, sepatutnya dia dan kroninya menghentikan segala taktik kotor itu," kata kenyataan bersama itu.
Ihsan:Harakah
7 Mei, 1999