JANGAN MENGAMPU PEMIMPIN ZALIM
Oleh MOHD SHAMIR AZHAR
Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Noor mempersoalkan tindakan Umno yang tiba-tiba meminta pandangan ulama' mengenai novel 'Shit' karya Shahnon Ahmad itu.
"Dalam perkaran ini Umno hendak merujuk kepada ulama', tetapi dalam soal seperti rasuah, perjudian, pelacuran, penyalahgunaan kuasa, kroni, nepotisme dan sebagainya tidak mahu merujuk kepada agama," katanya ketika menyampaikan ceramah di depan lebih 10,000 orang di pekarangan Musolla Al Ehsan Paya Ranggam dekat sini baru-baru ini.
Dato' Fadzil membidas ulama' di dalam Umno yang terus membisu mengenai soal kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan dan yang jelas bertentangan dengan Islam.
Beliau mencabar Umno supaya merujuk pandangan ulama mengenai kemungkaran di dalam kerajaan Barisan Nasional.
Katanya, apa yang berlaku hari ini, samalah seperti Presiden Anwar Sadat di Mesir yang bertanyakan Dr Yusof Qardhawi apabila Mesir kalah perang dengan Israel, sedangkan perbuatannya menangkap dan membunuh para ulama' dan para pejuang Islam tidak dirujuk ulama'.
Presiden PAS itu yang juga Adun Bukit Raya mengulangi pendiriannya mempertahankan Prof. Dato' Shahnon Ahmad dan menganggapnya sebagai Sasterawan Negara yang berani.
Katanya, setakat ini tidak ada penulis lain bergelar sasterawan besar seperti Shahnon yang seberani beliau mengkritik kepincangan yang wujud dalam kepimpinan negara melalui hasil penulisannya.
"Saya membela Sahahnon bukan kerana dia ahli PAS, tetapi kerana keberaniannya mengkritik para pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mereka di dalam novelnya itu," kata Fadzil.
Beliau mengharapkan penulis lain juga tampil menulis segala kepincangan yang berlaku dalam kepimpinan negara.
"Saya harap ramai lagi penulis seperti Shahnon dan jangan jadi penulis pengampu pemimpin yang zalim dan menindas rakyat," katanya.
Beliau menegaskan, segala kritikan di dalam novel 'Shit' itu amat sesuai dengan keadaan yang wujud di dalam negara ini sekarang ini.
Katanya kandungan di dalam novel itu tidak ditujukan kepada orang tertentu secara peribadi, Sebaliknya siapa yang makan nangka dialah yang kena getahnya.
Presiden PAS itu yang sebelumnya telah merasmikan Pejabat PAS Paya Renggam dan Pasti Paya Purnama yang terletak berhampiran musolla tersebut, seterusnya berkata kecaman terhadap Shahnon hanyalah usaha mengenepikan novelis yang lantang itu, tetapi ini tidak akan berjaya.
Sementara itu, pada sebelah petang sebelum ceramah perdana itu, ketika berucap merasmikan
Markaz Tarbiyyah PAS Zon Paya Salak, Fadzil berkata novel 'Shit" tidak begitu diberi perhatian jika tidak berbangkit hentaman-hentaman terhadap penulisnya, tetapi kini novel tersebut telah menjadi perhatian ramai.
"Novel itu yang pada awalnya orang tidak berapa tahu tetapi apabila 'mereka' dedahkannya, sekarang ini ia menjadi novel yang popular"
Ihsan: Harakah
7 Mei, 1999