UMNO MAKIN GELISAH
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Abdul Malik Yusuf berkata, Umno semakin gelisah apabila ramai ahlinya menyertai PAS.
Ini terbukti apabila Umno mengarahkan media massa melaksanakan kempen memburuk-memburukan PAS di samping menggunakan tenaga tradisional seperti guru 'Kemas' untuk berkempen.
Menurut Abdul Malik, jentera PAS mesti melawan hujah pegawai-pegawai kemas dengan hujah yang lebih mantap.
"Ahli-ahli PAS adalah jentera parti yang mesti bersedia berhadapan dengan musuh dan mereka perlu menjadi penangkis tohmahan lawan yang terbaik," ujarnya ketika merasmikan mesyuarat agung PAS kawasan Raub baru-baru ini.
Bagi tujuan itu, kata beliau, ahli-ahli perlu meningkatkan semangat dan keyakinan bahawa PAS mampu memikul tanggungjawab mentadbir negara jika diberi kemenangan.
Beliau berkata, perkembangan politik semasa menunjukkan rakyat semakin berani menyuarakan kebencian mereka terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Kita berharap kebangkitan rakyat akan
memberi manfaat kepada negara dan ummah," katanya.
Mengenai pakatan dengan parti pembangkang, jelas Abdul Malik ahli-ahli hendaklah menerima keputusan pemimpin dengan hati terbuka.
"Pakatan kita dengan pembangkang lain adalah dalam soal yang diperjuangkan bersama seperti menentang kezaliman dan memperjuangkan keadilan.
"Kita tidak boleh memencilkan diri dalam menentang isu-isu tersebut kerana persepakatan sekarang adalah berlainan dengan kerjasama seperti dengan S'46 dulu," ujarnya.
Menurut beliau, BN amat bimbang dengan pakatan pembangkang, justeru itu mereka menggunakan berbagai cara untuk menghancurkan pakatan tersebut.
Sementara itu, Ustaz Abdullah Suhaimi Saad kekal sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan itu, begitu juga dengan Naib Yang Pertuanya Ustaz Fathul Arifin.
Ihsan: Harakah
7 Mei, 1999