KERAJAAN ALTERNATIF UNTUK RAKYAT

Seminar Penerangan PAS Pusat yang mengumpulkan semua jentera penerangan PAS dari seluruh negara mengambil keputusan menawarkan kerajaan alternatif kepada rakyat negara ini.

Kerajaan alternatif ini akan ditawarkan hasil kerjasama empat parti alternatif di negara ini iaitu PAS, KeADILan, PRM dan DAP.

Demikian antara intipati yang dapat dirumuskan hasil perbincangan pembentang kertas kerja, pengulas, ahli penal serta peserta seminar sehari suntuk yang dihadiri oleh semua perwakilan seluruh peringkat PAS itu.

 

Dato' Hj. Fadil Noor - Presiden PAS

Sementara itu, ketika berucap merasmikan seminar itu, Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor mengingatkan jentera penerangan PAS bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan menyerahkan dengan mudah kuasa yang dipegangnya, walaupun PAS menawarkan kerajaan alternatif yang jauh lebih baik dari mereka.

"Kita harus sedar BN tidak mudah menyerah kuasa yang dipegang olehnya lebih dari 40 tahun. Mereka tidak mudah menyerahkan segala pembangunan yang telah mereka buat.

"Sebab kekalahan mereka bererti kehilangan segala-galanya bagi mereka. Bukan saja kuasa yang mereka miliki, tetapi apa yang mereka bimbang ialah pembongkaran segala kepalsuan, kezaliman, rasuah, penindasan dan sebagainya yang telah mereka lakukan lebih daripada 40 tahun lalu," jelas beliau ketika memberikan Ucaptama di majlis itu.

Majlis itu telah diadakan sehari suntuk di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar Khamis lepas.

"Kita tidak boleh berfikir BN akan menyerah dengan mudah kepada kerajaan alternatif," katanya.

Mereka, katanya, akan menggunakan segala yang mereka ada seperti media massa, wang, dan juga kuasa untuk mempertahankan ke-kuasaan mereka.

"Mereka akan menaburkan segala bentuk fitnah melalui media, sama ada media elektronik, media cetak dan lain-lain untuk mengelirukan rakyat apa yang kita perjuangkan," jelas beliau.

Katanya, melalui media kepalsuan dikatakan satu kebe-naran dan disebut berulang-ulang, lama kelamaan rakyat akan menganggapnya kebenaran.

Begitu juga dengan kebenaran apabila dianggap kepalsuan dan dicakap berulang-ulang, lama kelamaan rakyat akan menganggap kepalsuan.

"Kita tidak mempunyai media yang boleh mempengaruhi rakyat selain daripada ucapan-ucapan yang boleh diberikan secara terhad dan risalah-risalah melalui akhbar mingguan kita Harakah yang sangat terhad sebarannya.

"Contohnya apabila Dr. Mahathir menjadi ahli panel forum dalam program pada 1 Mei yang lalu dan dihadiri tidak lebih dari 2/3 keluasan Dewan Institut Pendidikan Darul Aman.

"Jika dibandingkan dengan ceramah kita di Alor Setar yang dihadiri oleh lebih 30,000 orang. Tetapi kita jangan lupa pada 1 Mei itu televisyen memancarkan-nya kepada berjuta-juta rakyat Malaysia," jelas beliau mengenai peranan media di negara ini.

Ihsan: Harakah
10 Mei, 1999