TANAH JERLUS BUKAN KEJADIAN SEMULAJADI
Minda Rakyat menghubungi seorang pegawai di Jabatan Galian Malaysia untuk mendapatkan pandangannya berkenaan tanah jerlus.
Maklumat yang didapati adalah seperti berikut. Kejadian tanah jerlus di Lembah Kinta bukan fenomena alam sebagaimana kejadian gelinciran yang sering berlaku di kawasan artik. Ia mungkin disebabkan oleh kecuaian manusia yang mengolah rupabumi dengan mengabaikan soal keutuhan struktur tanah hingga mengizinkan kejadian seumpama ini berlaku.
Pada kebiasaannya lombong di Lembah Kinta mengamalkan perlombongan cara kapal korek. Kedalaman balikan struktur tanah boleh mencapai lebih 100 meter dalamnya hingga mencecah 'limestone'.
Apa yang sering terjadi di Lembah Kinta, tanah balikan oleh aktiviti kapal korek tidak dikawalselia dengan berkesan. Malahan ianya ditinggalkan begitu sahaja sehingga tanah tersebut menjadi keras setelah bertahun-tahun terbiar. Tetapi kita tidak mengetahui ketahanan struktur tanah itu.
Teori awal mengapa kejadian tanah runtuh boleh berlaku kemungkinan berpunca daripada kejadian gelinciran dalam tanah. Biasanya selepas dikorek lapisan tanah akan longgar strukturnya. Ini menyebabkan air dan lumpur akan mendap sebagai lapisan terbawah sekali. Kemudian lapisan tanah yang lebih rongga dan berbatu akan menutupi di atasnya.
Dari masa ke semasa bebanan yang berlaku di atas permukaan bumi semakin memberat ke bawah. Apabila sampai satu masa bebanan ini akan menyebabkan lumpur yang berada di lapisan bawah tanah akan mencari laluan keluar. Ini menyebabkan kejadian tanah jerlus.
Teori kedua berlaku apabila lapisan terbawah adalah tidak telap air (tanah liat dan lumpur), maka aliran air akan berlaku di atasnya. Hujan lebat lama kelamaan mungkin membantu menjadikan aliran air bawah tanah semakin besar hingga akhirnya meruntuhkan struktur tanah. Ini akan menjadikan kejadian tanah jerlus.
MR akan cuba mendapatkan komen daripada pihak Jabatan Kaji Bumi untuk pengetahuan bersama.
Sumber: agen MR
11 Mei, 1999