PERMOHONAN SEJAK 1993
Minda Rakyat dihubungi oleh AJK Bertindak Penduduk Islam Chemor, Perak mengatakan bahawa permohonan tanah untuk tujuan Rancangan Perkampongan Tersusun Tanah Hitam (Tambahan) telah diajukan kepada Pejabat Tanah Kinta sejak tahun 1993 lagi.
Permohonan itu adalah atas lot 69187 mukim Ulu Kinta seluas 13 hektar, bersama-sama pelan tatatur yang mengandungi pecahan lot rumah dan masjid. Sebanyak 106 lot dijangkakan akan diduduki oleh penduduk Islam Chemor yang masih belum memiliki walau sekeping tanah hingga memaksa mereka menyewa hingga ke hari ini.
Menurut jurucakap AJK Bertindak itu lagi, permohonan itu tidak mendapat apa-apa jawapan dan permohonan yang sama sekali disusuli pada tahun 1996 dan kali ke tiga pada tahun 1997.
Namun jawapan yang diterima awal tahun ini mengatakan tanah tersebut telah diluluskan pula atas sekim perumahan yang seterusnya menafikan hak penduduk setempat.
Sumber: agen MR
12 Mei, 1999