KAKITANGAN BUANG KERTAS 'MMK'

Badan Pencegah Rasuah (BPR) disaran agar lebih telus lagi menangani isu penyelewengan yang berlaku dalam sistem pentadbiran Kerajaan. Jika amalan penyelewengan kuasa DSAI boleh diselesaikan dan mencapai keputusan dalam tempoh yang singkat, kenapa rasuah dalam sistem politik dan pentadbiran Kerajaan senyap begitu sahaja.

Rakyat yang sering jadi mangsa kerakusan kuasa pentadbir dan kakitangan mereka yang korupsi. Umpamanya, dokumen penting dibuang dan fail-fail hilang dan tidak dapat dikesan. Apa yang terjadi kepada penduduk Islam Daerah Chemor, Perak seharusnya membuatkan kerajaan lebih peka menangani isu rakyat dan jangan berdalih atau menyembunyikan kezaliman.

Maklumat yang diterima menyatakan bahawa lot 69187 seluas 13.86 hektar telah disediakan dokumen perakuan Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) oleh Bahagian Pelupusan PTG Perak seawal tahun 1995 lagi. Namun apabila pegawai dan kakitangan bertukar ganti, pihak yang tidak bertanggungjawab telah melupuskan kertas perakuan MMK supaya lot tersebut dianggap 'tiada kepentingan' bagi sesiapa.

Penjualan dokumen juga bebas dilakukan oleh pegawai dan kakitangan Kerajaan terutama di Pejabat Tanah seluruh negeri ini dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian. Kegiatan ini dipercayai untuk mengejar hidup mewah dan ianya dilakukan atas contoh yang dilakukan oleh pegawai-pegawai atasan mereka sendiri.

MINDA RAKYAT
12 Mei, 1999