KERAJAAN ZALIM JANGAN DISOKONG LAGI!
Rakyat diseru supaya jangan memberikan sokongan mereka jika kerajaan masih berdiam diri dan tidak bertindak ke atas penyelewengan dan kezaliman yang berleluasa hari ini.
Walau pun negara sudah merdeka selama 42 tahun, namun masih ada rakyat yang hidup dalam kedhaifan dan tidak mempunyai perlindungan dari panas dan hujan. Polisi Kerajaan Negeri ini juga tidak banyak membantu rakyat untuk memiliki rumah kerana paras harga rumah kos rendah juga sudah meningkat ke tahap RM35,000. Sesuatu yang sukart untuk dijelaskan oleh rakyat berpendapatan rendah.
Setiap tanah yang dibuka pula akan dimajukan oleh kroni-kroni pentadbir dan pemimpin politik yang mempunyai kepentingan mereka. Tiada lagi di zaman ini anugerah lot rumah secara persendirian dengan alasan tersendiri. Namun hakikatnya, inilah kezaliman yang berlaku dalam polisi kerajaan yang memerintah untuk memeras ugut duit rakyat bukannya membantu mereka dalam kesusahan.
Tan Sri Ramli sebagai Menteri Besar negeri Perak melihat isu rakyat ini sebagai 'perkara biasa' dan bersikap seperti 'kacang lupakan kulit'. Rakyat perlu bersatu dan bangkit menentang kezaliman, ketidakadilan dan penyelewengan yang berlaku. Tindakan secara berjemaah atau menyertai pertubuhan tertentu yang berjuang menentang kezaliman adalah satu Jihad bagi yang selemah-lemah iman.
Saranan ini dibuat oleh seorang tokoh ugama yang juga bekas Pengetua Sekolah Menengah Izzudin Shah semasa menyampaikan khutbahnya di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, dua minggu lalu.
MINDA RAKYAT
12 Mei, 1999