RAPAT UMUM DI LIKAS
Serba sedikit berhubung rapat umum Mahathir di Likas.
Petang Khamis, 13 Mei 1999, berita di TV semuanya menyiarkan laporan ketibaan Mahathir di Kota Kinabalu dengan sambutan meriah yang membazirkan wang rakyat.
Mahathir, menurut laporan tersebut, dijangka akan membuat ucapan di hadapan tidak kurang dari 30,000 rakyat Sabah dalam rapat umum yang dijadualkan di Stadium Likas pada malam itu.
Bila tiba masanya, laporan berita 11 malam (13 Mei 1999) dalam TV3, mengatakan Mahathir memberi ucapan di hadapan 20,000 rakyat Sabah yang datang menyatakan sokongan terhadap Mahathir dan Barisan Nasional.
Selepas laporan itu, saya menukar saluran menonton TV1, dan mendengar ucapan Mahathir di Likas yang telah dirakamkan. Dan saya turut rakamkan ucapan tersebut ke dalam tape VHS untuk rujukan saya di masa depan.
Apa yang saya perhatikan dalam siaran tersebut, sepanjang ucapan Mahathir, tidak sekali pun kamera menunjukkan pemandangan suasana di dalam stadium kecuali beberapa "caption" atau petikan yang difokuskan khas kepada beberapa kumpulan hadirin. Saya akan ulas bab ini nanti.
Mungkin disebabkan kesilapan teknikal, hanya sekali gambaran pemandangan keseluruhan suasana di dalam stadium disiarkan iaitu ketika Mahathir hampir menamatkan ucapannya. Kenyataan yang disebut sebagai 20,000 mengikut laporan berita jam 11 malam TV3 dan jangkaan 30,000 dalam berita-berita lain sebelumnya ternyata meleset.
Dalam gambaran pemandangan suasana di dalam stadium itu dapat saya anggarkan tidak lebih dari 10,000 orang yang hadir pada malam itu untuk menyatakan sokongan kepada BN. Mungkin 5,000 – 6,000 sahaja.
Mengapakah saya mengatakan begitu?
Dari pandangan keseluruhan di dalam stadium, jelas ternyata bahawa tidak ada hadirin langsung yang duduk di tempat duduk stadium di bahagian tidak berbumbung/beratap. Nampak dengan jelas warna kerusi stadium yang tidak diduduki oleh hadirin/tetamu. Ini bermakna tidak ada langsung hadirin yang duduk di tempat duduk tersebut – iaitu kosong. Dan di tengah padang dapat dilihat beberapa ratus orang berkeliaran sambil memegang sepanduk dan kain rentang.
Dan di tempat beratap pula, masih nampak dengan jelas warna kerusi di celah hadirin yang ada. Ini menunjukkan bahawa masih banyak kerusi yang kosong di tempat beratap..
Dan di kalangan yang hadir, kita juga dapat nampak dengan jelas, mereka ini terdiri dari golongan yang terpaksa hadir atau diupah untuk hadir. Sebabnya ialah, di antara yang hadir itu ramai juga budak-budak muda, ber T-shirt dan memakai topi "cap". Mereka ini yang datang bersama beberapa rakan lelaki mereka atau yang datang berdua dengan teman wanita mereka jelas kelihatan tidak memperduli langsung apa yang diperkatakan oleh Mahathir. Mereka asyik berbual sambil gelak. Ramai yang langsung tidak memberi tepukan bila diberi "que" untuk tepuk. Kalau ada pun yang tepuk, hanya setakat mengikut sahaja atau terpaksa.
Dan di kalangan ahli-ahli UMNO dan jemputan yang hadir (berdasarkan dari pakaian mereka iaitu kemeja batik bagi lelaki dan uniform wanita UMNO), ramai juga yang bersembang sesama mereka di sepanjang majlis tersebut. Tidak nampak mereka memberi tumpuan kepada ucapan Mahathir – hanya menepuk tangan bila mendapat "que".
Sekali-sekala terdengar suara laungan menyokong Mahathir – supaya diikuti oleh orang ramai. Pada mulanya adalah yang mengikut. Lama-lama dia seorang sahaja yang melaung seorang diri. Dan kalau diperhati betul-betul suara yang sama yang menjadi "cheer leader" (ketua laungan?).
Berbalik kepada beberapa gambaran yang cuba difokuskan oleh kamera sepanjang ceramah tersebut kita dapat buat kesimpulan berikut:
Seperkara lagi yang saya rasa mesti saya laporkan ialah, Mahathir telah merubah fakta geografi negara malam tadi. Di dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa Sabah adalah negeri terbesar di negara kita. Apa kata orang Sarawak?
Memandang kepada sambutan yang diberikan sedemikian rupa, saya yakin, sememangnya rakyat sudah benci dengan beliau, termasuk mereka di Sabah. Rakyat menunjukkan protes mereka terhadap seorang pemimpin yang zalim yang tidak sedar sokongannya sudah tiada kerana diampu oleh orang sekeliling.
Amat jauh berbeza sekali dengan apa yang berlaku di Stadium Kota Bharu dengan sambutan lautan manusia baru-baru ini.
Namun, kita semua harus beringat, Mahathir dan parti BN/UMNO mempunyai segala senjata dan jentera kerajaan untuk digerakkan dalam membantu mereka menghadapi pilihanraya nanti. Kita harus berwaspada dengan tipu helah mereka dan seharusnya ramai-ramai kita semua menghebuh serta melaporkan segala perancangan jahat dan licik mereka.
Ibrahim Baba
14 Mei 1999