EZAM SEDIA BUKTI 'PILIH KASIH'

Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), saudara Mohamad Ezam Mohd Nor, bersedia membuktikan yang Jabatan Peguam Negara mengamalkan 'pendakwaan pilih kasih' di mahkamah sekiranya jabatan itu mengambil tindakan undang-undang termasuk saman malu terhadapnya.

Akhbar Utusan Malaysia semalam memetik bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai mengatakan "setakat ini saya cuma mendengar Peguam Negara (Tan Sri Mohtar Abdullah) mengkritik saya di media" tetapi beliau belum menerima apa-apa surat bagi tindakan undang-undang.

Pada Isnin lalu, Mohd Ezam telah membuat laporan polis dengan mendakwa Tan Sri Mohtar, Penolong Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail serta Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin telah menyalahgunakan kuasa masing-masing.

Kelmarin, Tan Sri Mohtar mengulas dengan mengatakan Jabatan Peguam Negara boleh mengambil tindakan terhadap laporan serupa itu yang dianggap cuba menghasut orang ramai supaya menentang pemerintah.

Ulasan Tan Sri Mohtar itu pula telah dibidas oleh Encik Karpal Singh, seorang peguam yang juga anggota parlimen pembangkang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi Jelutong.

Akhbar New Straits Times semalam memetik Encik Karpal sebagai berkata "tiada undang-undang yang menyekat sesiapa saja untuk mempersoalkan Peguam Negara dalam membuat keputusan untuk mendakwa seseorang berkaitan sesuatu kesalahan.

Oleh itu, kata Encik Karpal, Peguam Negara Tan Sri Mohtar tidak harus mengancam untuk mengambil tindakan terhadap orang-orang yang mempersoalkan keputusannya.

"Peguam Negara seharusnya berhenti daripada menakut-nakutkan orang," kata Encik Karpal.

Sumber:cyBerita
15 Mei, 1999