KEMANA KEKAYAAN NEGARA KITA? (siri 1)

Statistik yang ditunjukkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melalui http://forestry.gov.my/homepage/malay/html/sumber.html membuktikan kepada kita bahawasanya kekayaan negara kita diancam penyelewengan maha dahsyat.

Daripada statistik itu saya akan cuba menghuraikan apa yang tersirat di sebaliknya, bukan sekadar satu angka yang mesti ditonton oleh anda para netters tetapi tidak mengerti melainkan ia hanya sebuah laporan biasa.

Walau digembar gemburkan bahawa pengeluaran sumber hutan menurun (rujuk tempoh kajian JPSM Jan - Jun 1997/1998) sebanyak 38% pada tahun 1998, namun kawasan HSK yang dibuka untuk usahasil meningkat 33.2%. Apa itu HSK?

HSK bermakna Hutan Simpanan Kekal. Jika pengeluaran di Tanah Kerajaan dan Tanah Milik berkurangan, sebaliknya HSK meningkat ini memberi erti bahawasanya lebih banyak hutan negara kita sudah dicabuli yang akan banyak membawa keuntungan kepada pembalak-pembalak.

HSKlah idaman pembalak kerana satu ekar dalam HSK membawa nilai beribu malahan boleh mencapai puluhan ribu RM. Cuba kita andaikan satu ekar HSK. Sebusuk-busuknya ada 10 batang pokok. 1 pokok pula sebusuk-busuk ukurannya ada 2 m. Ertinya, 1 ekar sebusuk-busuknya ada 20 m. Katakan harga bagi 1m padu pada RM300 sebusuk-busuknya, maka 1 ekar HSK mencapai RM6,000 sebusuk-busuknya. Bayangkan jika anda dianugerah 200 ekar konsesi balak. Sebusuk-busuknya anda menerima RM1.2 juta! Itu busuk…. Angka yang biasanya, boleh anda kalikan dengan 4 iaitu mencapai RM4.8 juta bersih!

Sungguh malang tiada satu undang-undang yang mampu menyekat pemberian konsesi balak melainkan ianya di bawah telunjuk mereka yang berkuasa di negeri-negeri. Misalnya jika Mahathir sendiri pun tidak boleh 'over rules' keputusan MB-MB dalam bab ini. Setiap bantahan terhadap keputusan pemilikan dan penganugerahan konsesi balak dalam negeri berkenaan tetap berada di bawah telunjuk para MB tanpa ada satu akta yang cukup kuat menghalangnya! Itulah sebabnya maka para MB dan UMNO cukup kaya!!

Kekuasaan MB dalam bab pemberian konsesi balak cukup mutlak. Kerana itu di Semenanjung Malaysia hanya dua negeri yang mengamalkan konsep pemberian secara anugerah iaitu Perak dan Negeri Sembila. Perak di bawah Tan Sri Ramli Ngah Talib, manakala NS di bawah Tan Sri Isa Samad. Oleh kerana di Perak HSKnya masih tinggi, tidak ragu-ragu saya katakan MB Perak antara mereka yang terkaya di negara ini dengan kedudukannya selepas Dr. Mahathir dan Tun Daim!!

Berbalik kepada industri pembalakan di negeri-negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor serta Selangor (yang sudah hampir tiada hutan) menjalankan industri pembalakan melalui proses tender. Ini bererti premium mereka ditender, siapa yang paling tinggi akan memenanginya. Tidak kira siapa mereka, asalkan anak negeri maka layaklah mereka menyertai tender asalkan ada 'tukul besi' yang merupakan sijil kekayaan manusia di dunia.

Berbalik kepada tumpuan ke negeri yang mengamalkan sistem pemberian konsesi balak secara anugerah, maka penyelewengan pemberian tidak dapat tidak, tetap tidak dapat dielakkan. Biar pun mesyuarat exco pembalakan dijalankan setahun 2 kali, namun kekayaan terus melimpah ruah! (bersambung….)

Catatan 17 Mei, 1999