SOKONGAN KEPADA UMNO KIAN MERUNCING
Senario kemelut politik yang berlaku dalam UMNO hampir menuju ke kemuncaknya. Perkembangan yang berlaku dalam PAS dan Kerajaan Alternatif yang bakal dibina selepas pilihanraya menampakkan kegusaran parti itu di mana-mana sahaja.
Umpamanya peristiwa yang berlaku dalam Cawangan UMNO Kg. Kuala Pari Hilir, yang setahun dan kebelakangan merupakansatu-satunya antara kubu UMNO yang kuat di Lembah Kinta. Perpecahan sokongan padu (mungkin ini unsur perpecahan yang selalu dilaung-laungkan UMNO) dari UMNO kini semakin besar dan merebak seperti virus JE.
Daripada tiada cawangan, maka sudah diwujudkan cawangan PAS Kg. Kuala Pari. Daripada sekurang-kurangnya 25 orang dalam satu-satu cawangan, angka itu dengan pantas bertukar menjadi lebih 250 orang dalam masa satu bulan lebih sahaja!.
Penduduk Kg. Kuala Pari, Kg, Batu dan Kg. Seri Aman lebihkurang 1,500 orang sahaja. Namun dari jumlah tersebut mereka yang mendaftar mengundi tidak sampai 1,000 orang. Jika dalam siri pilihanraya lalu jumlah tersebut telah mengundi UMNO, nampaknya kali ini tidak lagi. Angka rasmi 250 itu sudah pasti memihak PAS. Malahan yang belum menjadi ahli tetapi berjanji mengundi PAS lebih sekali ganda. Usaha sedang dijalankan untuk mengutip keahlian di bawah PAS Cawangan Kg. Kuala Pari.
Majoriti penduduk kini sedar bahawa penyelewengan yang berlaku dalam UMNO hari ini sudah melewati batasan dan perlu dihentikan.
Sumber: agen MR
17 Mei, 1999