RAMLI YANG SAYA KENALI!

Saya kenal Ramli melalui abangnya En. Zulkifli (arwah). En. Zulkifli adalah seorang pegawai tinggi kastam. Saya mula kenali En. Zulkifli sejak saya memegang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Dato Keramat awal tahun 1970'an.

Saya bukan orang Perak, tapi isteri saya orang Perak. Selepas saya kecewa dengan Pemuda Bahagian UMNO Dato' Keramat, saya berhijrah ke Perak di awal 1980'an. Pada masa itu Ramli sudah jadi MB. Saya sering berkunjung ke rumah ibu Ramli bersama abangnya Zulkifli di Kg. Melayu, Lapangan Terbang, Ipoh.

Namun Ramli tidak pernah saya rapati. Orangnya agak sombong. Saya hanya rapat dengan Ramli, selepas En. Zulkifli jatuh sakit dan kemudiannya meninggal dunia. Sayalah yang bertungkus lumus dalam usaha mengkebumikan jenazah abangnya. Sewaktu En. Zulkifli meninggal dunia, Ramli sedang menunaikan umrah. Saya juga usahakan menelefon beliau di Mekah dan memberitahu kematian abangnya.

Selepas allahyarham Zulkifli disemadikan saya sering kunjungi ibunya yang juga Ramli di Kg. Melayu, Lapangan Terbang, Ipoh. Dari situlah saya mula rapat dengan Ramli. Ibu Ramli pernah berkata kepada saya bahawa Ramli itu memang sombong dengan orang. Beliau khuatir dengan sikap sedemikian orang akan benci kepadanya dan akan berbuat sesuatu yang tidak diingini. Saya pernah menyaksikan bagaimana dia melayan bapa saudaranya yang minta diluluskan permohonan konsesi balak. Akhirnya permohonan itu gagal. Waktu itu Ramli belum kenal saya lagi. Hanya saya kenal abangnya En. Zulkifli dan beberapa orang saudaranya di Kg. Gajah.

Lama juga hubungan saya dengan ibu Ramli berterusan begini. Akhir saya fikirkan tentang 'peluang' yang sememangnya didam-idamkan oleh semua orang yang kenal dengan pembesar negeri. Walau pun kali pertama pernah gagal, apa salahnya mencuba lagi. Lama juga saya fikirkan apakah peluang terbaik saya mahu minta pertolongan agar kesempitan hidup saya dapat di atasi.

Isteri Ramli, Puan Seri Nora ramah juga orangnya. Di mana sahaja beliau bertemu dengan kami suami isteri, beliau akan menegur dan menyapa dengan ramah sekali. Namun beliau 'amat berkuasa' ke atas Ramli. Apa katanya, akan Ramli ikuti. Pernah sekali beliau nampak isteri saya semasa di pasar. Beliau tegur isteri saya dan mengatakan mengapa saya sudah lama tidak ke rumah mertuanya di Kg. Melayu, Rapat Setia.

Akhirnya saya kalah dengan pujukan itu. Dan saya berazam untuk meminta pertolongan beliau. Akhirnya saya kunjungi Ramli di kediaman resminya. Saya datang dengan isteri. Saya mesti berterus terang dengan Ramli untuk meminta pertolongannya meluluskan satu konsesi balak. Saya tidak mahu kecewa seperti sebelumnya. Pada masa itu Ramli sanggup kecewakan permintaan bapa saudaranya sendiri. Ramli belum kenal saya waktu itu. Waktu itu juga abangnya Zulkifli masih hidup.

Ramli mengeluarkan buku kecilnya dan mencatatkan nama syarikat saya. 'Keris Hikmat Sdn. Bhd.' adalah syarikat saya sendiri. Saya ada tukul besi. Bila mesyuarat exco diadakan selepas kira-kira tiga atau empat minggu dari tarikh pertemuan itu, saya menerima habuan pertama! Konsesi balak seluas 200 ekar hutan dara!

Selepas peritiwa itu saya menerima dua atau tiga kali konsesi balak. Tapi duit datang dan pergi macam air yang deras. Saya tak pandai meluaskan perniagaan tapi berkesempatan juga memiliki dan memperkukuhkan perniagaan.

Akhirnya saya cuba dengan rakan kongsi untuk membuka sekim perumahan di kawasan Pengkalan Pegoh. Sebuah kawasan bekas lombong yang cukup luas ketika itu. Saya gunakan syarikat Galian Melayu untuk memohon mendapatkan tanah bekas lombong bagi projek perumahan. Seperti selalunya saya harap akan menerima habuan seterusnya kali ini. Macam biasa saya taburkan wang di Pejabat Tanah untuk kelancaran permohonan saya.

Waktu itu jika tidak silap saya ialah tahun 1985. Bila mesyuarat exco bersidang, keputusan tidak memihak kepada saya kali ini. Hati saya panas kerana sudah melaburkan wang lebih RM8,000 untuk projek tersebut.

Mungkin kali itu saya tidak bernasib baik. Saya jadi musuh kepada Ramli selepas itu. Saya juga tidak lagi aktif dalam UMNO dan tidak membayar yuran keahlian parti.

Selepas 15 tahun saya sedar bahawa tidak sepatutnya saya bersikap demikian. Walau pun Ramli bersifat sombong tapi saya masih ada kesempatan untuk men'curi' peluang yang baik. Kini saya sudah aktif semula. Saya kembali aktif sebagai ahli UMNO. Apa pula Ramli akan bantu saya kali ini?

Perbualan tersebut terhenti di situ. Sambil beliau membetulkan kedudukan kerusinya, pak cik tersebut berkata lagi kepada rakan-rakannya, "saya akan mencuba semula", katanya meyakinkan diri sendiri.

Perbualanya sekian lama pun terhenti. Saya pun terpaksa pergi. Perbualan di meja bersebelahan saya tadi, merupakan maklumat yang cukup menarik untuk saya kemukakan kepada para netters sekelian.

Polong cyber