KEMANAKAH KEKAYAAN NEGARA KITA (siri terakhir)

Memang ramai yang tidak tahu perjalanan Jabatan Perhutanan yang agak misteri berbanding dengan Jabatan Kerajaan yang lain. Sesungguhnya tiada siapa menyangka bahawa di sebalik hutan tebal terkandung khazanah yang bernilai. Masakan sanggup gunung didaki dan lurah dituruni jika tiada asas yang kuat untuk meredah hutan belantara.

Pada suatu masa lonjakan harga bagi setiap tan metrik kayu balak boleh mencecah sehingga RM1,800.00 mengikut gred tertentu. Pada masa kejatuhan melanda pertengahan tahun 1998 harga kayu balak hanya sekitar RM850.00 satu tan metrik. Biar pun harga serendah itu, namun pulangan dari khazanah hutan tetap tidak pernah mendatangkan kerugian kepada pengusahanya.

Seperkara yang saya perlu nyatakan di sini ialah tentang bagaimana industri pembalakan seharusnya boleh membawa kekayaan kepada negeri. Namun kerana tiada satu undang-undang yang kuat maka tiada penekanan diberi untuk menaikkan royalti kayu balak atau menaikkan premium kawasan balak. Hanya yang wujud satu atau dua tahun lalu ialah bagaimana kerajaan menyiksa orang kampong dan rakyat negeri ini dengan menaikkan kadar cukai tanah.

Kadar premium yang ditetapkan masa ini ialah RM300 bagi satu ekar. Manakala royalti kayu balak yang dikenakan ialah pada kadar 1 peratus sahaja. Bayangkan sekiranya satu konsesi seluas 200 ekar seorang pengusaha balak hanya dikenakan RM60,000 sebagai pembayaran premium. Selepas balak tersebut ditebang dan dijual royalti yang akan dikenakan hanya 1 peratus sahaja.

Sekarang marilah kita membuat satu andaian jika seseorang menerima 200 ekar kawasan balak. Pokok ditanam pada jarak 10 meter X 3 meter. Pada masa ini jumlah pokok satu ekar dianggarkan sebanyak 133 pokok. Andaian kita separuh pokok kualiti tidak baik dan tidak ada nilai maka hanya ada 50 pokok. Satu pokok yang baik mempunyai 5 tual atau paling 4 tual balak (keratan balak). Namun kita andaikan satu pokok ada hanya 2 meter. Oleh itu 50 pokok seekar bermakna kita ada 50 X 2m iaitu 100m. Harga pada paras sederhana rendah ialah RM300 bagi setiap m. Maka dengan itu harga bagi 100m atau 1 ekar ialah RM30,000.

Maka bolehlah dikatakan tahap minima yang diterima oleh seorang pengusaha balak ialah RM30,000 bagi setiap ekar. Berbanding dengan premiumnya sebanyak RM300, royalti kayu balak adalah 1 peratus yakni RM30,000 X 1% iaitu RM300 sahaja. Ertinya dengan modal RM600 seseorang boleh menerima keuntungan sebelum tolak upah tebang dan angkut, sebanyak RM29,700 se ekar.

Bagi konsesi 200 ekar seseorang boleh menerima sehingga RM5,940,000.00. Kadar premiumnya sebanyak RM60,000 dan royalti mengikut penjenisan kayu balak dianggarkan lebihkurang RM59,400.00 sahaja. Nah! Lihat sahaja bagaimana taukeh balak mengaut harta negeri jika kadar royalti dan premiumnya tidak dinaikkan. Namun atas polisi Kerajaan sekarang maka kadar premium dan royalti tersebut langsung tidak disentuh kerana keuntungan yang besar ke atas taukeh balak memungkinkan mereka mengaut persen yang lebih!!

Hanya yang menanggung kerugian ialah rakyat yang jujur dan ikhlas serta yakin bahawa polisi Kerajaan membantu mereka. Namun apa yang terbukti di sebalik segala kegiatan ekonomi masa kini sebenarnya kerajaan tidak mahu menyusahkan pembalak dan lebih senang menyiksa rakyat dengan menaikkan kadar pelbagai cukai samada langsung atau tidak langsung.

Hal yang lebih malang, apabila syarikat rakyat memohon tidak pernah dipertimbangkan sebaliknya hanya kroni yang lebih utama. Terdapat lebih 6,000 tukul besi ada di negeri Perak namun yang pernah menerimanya sejak berpuluh-puluh tahun lalu hanya 10 peratus. Samada anda percaya atau tidak sila dapatkan sendiri maklumat terus daripada pihak yang berkenaan . Anda boleh e-mail kepada ppn@perak.gov.my.

X-Ranger