BERITA INTERNET BUKAN FITNAH!!

PM AKAN UMUMKAN ROMBAKAN KABINET PAGI INI

 

PM Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan satu rombakan kecil kabinet pada persidangan berita di pejabatnya di sini.

Semua akhbar telah diberitahu mengenai persidangan berita itu melalui satu makluman yang dikeluarkan Bahagian Akhbar pejabat Perdana Menteri petang semalam.

Spekulasi mengenai satu rombakan kabinet akan diadakan, telah diperkatakan sejak seminggu lepas melalui internet melaporkan bahawa beberapa menteri kanan mungkin digugurkan.

Dalam mesyuarat mingguan Kabinet semalam, dipercayai bahawa PM telah memberitahu menteri-menteri berkenaan mengenai perubahan yang akan dilakukan.

Sebaik mesyuarat kabinet berakhir dan menteri-menteri kembali ke kementerian masing-masing petang semalam, cakap-cakap semakin rancak bahawa rombakan itu akan diumumkan secepat mungkin.

Menurut laporan , Menteri Penerangan Datuk Seri Mohamed Rahmat mungkin digugurkan dan digantikan dengan Menteri Besar Pahang Tan Sri Khalil Yaakob.

Khalil turut disebut-sebut mengambil alih sebagai Setiausaha Agung Umno daripada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Seri Sabbaruddin Chik.

Laporan itu meramalkan bahawa exco kanan negeri Datuk Adnan Yaakob akan mengambil alih sebagai Menteri Besar Pahang.

Datuk Pandikar Amin Mulia, presiden parti Akar, komponen Barisan Nasional Sabah, akan dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu menurut sumber-sumber, mereka yang turut terlibat dalam rombakan itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Datuk Shafie Apdal.

Kadir dijangka dinaikkan pangkat menjadi Menteri kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan jika Sabbaruddin digugurkan daripada kabinet.

Shafie mungkin dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri menggantikan Kadir.

Ini merupakan rombakan kabinet yang kedua sejak Januari apabila Menteri Luar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang turut melibatkan beberapa pertukaran dalam Kabinet Regim Mahathir.

Sumber: Bernama
20 mei, 1999