SABBARUDDIN SAHKAN LEPAS JAWATANNYA


Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Sabbaruddin Chik mengesahkan bahawa beliau akan melepaskan jawatan Kabinetnya sebagai menepati berita mengenai ura-ura berlakunya rombakan dalam kabinet regim Mahathir yang tersebar luas melalui internet.

Beliau diminta berbuat demikian oleh PM Mahathir dalam mesyuarat mingguannya semalam yang mengesahkan juga bahawa perbuatan diktator tua itu mementingkan kerja politik peribadi berbanding dengan burung kakak tua kabinetnya biar bagaimana pengorbanan mereka terhadap diktator itu.

Sabbaruddin juga mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan Setiausaha Agung Umno, nasib yang sama dialami oleh DSAI, tetapi mungkin dengan cara yang lebih baik.

Sebelum ini laporan internet mengatakan Sabbaruddin diramalkan meletak kedua-dua jawatan Kabinet dan parti ekoran masalah kesihatan.

Sabbaruddin berkata Dr Mahathir tidak perlu memberi sebab mengapa beliau mahunya meletakkan jawatan kerana ia adalah hak Perdana Menteri dan tidak perlu dipersoalkan.

Sabbaruddin berkata, beliau tahu tentang rombakan Kabinet yang akan membabitkan beliau pada awal bulan ini setelah Perdana Menteri memintanya menulis surat peletakan jawatannya.

Dr Mahathir akan mengumumkan rombakan kecil Kabinet dalam satu persidangan berita di pejabatnya pagi ini, menurut makluman yang dikeluarkan Bahagian Akhbar Pejabat Perdana Menteri petang semalam.

Keputusan Diktator Mahathir untuk menggugurkannya itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan parti dan kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak tahu mengapa dan tidak perlu diberi sebab, cuma saya tahu rombakan kabinet adalah normal," katanya. Beliau berkata, soal meninggalkan parti tidak timbul sama-sekali kerana kesetiaan dan ketaatan kepada parti dan pucuk pimpinan Dr Mahathir melebihi daripada segala-galanya.

"Janganlah menjangka saya akan menyertai mana-mana parti selain daripada Umno. Pendek kata, orang saya jika masuk parti lain akan menjadi musuh saya. Dari segi parti tidak usah bimbanglah. Saya tidak marah sesiapa, apa pula saya hendak berhenti dari Umno," katanya.

Mengenai perancangannya selepas ini, Sabbaruddin berkata setakat ini beliau tidak mempunyai apa-apa rancangan selain daripada mengukuhkan jentera parti di peringkat bahagiannya (Temerloh) bagi menghadapi pilihan raya umum.

Sementara itu, keadaan di pejabat beliau agak sibuk dengan beberapa pekerja kelihatan mengemaskan barang-barang peribadinya untuk dimasukkan ke dalam kotak

Sumber: BERNAMA
20 Mei, 1999