MENGAPA INTERNET YANG DISALAHKAN PULA!
Saya percaya kesemua para menteri dalam regim Mahazalim akan bersetuju dengan kenyataan bahawa internet adalah alat penyebar khabar angin. Dalam ucapan kebelakangan ini Diktator Mahathir sendiri kerap mengeluarkan pernyataan bahawa segala berita yang memburuk-burukkan kerajaan dan para menterinya menerusi internetdianggap fitnah yang berbau politik. Apakah salah internet? Hanya satu alat canggih yang menyimpan data-data dan memaparkan apabila diminta?
Sewajarnya kita menimbangkan setiap isu yang berbangkit menggunakan akal dan minda yang Allah anugerahkan kepada kita. Janganlah pula kita menuduh dan menganggap sesuatu yang tidak memihak kepada kita sebagai fitnah atau propaganda musuh semata-mata. Kenapakah para menteri dalam regim Mahazalim hari ini tidak melihat ke dalam diri sendiri tentang apakah sebenarnya yang mereka lakukan.
Kemanakah arah dan hala tuju kehidupan mereka. Apakah dengan amanah yang diberi oleh rakyat mereka boleh hidup bersenang lenang dan mengumpul harta. Apakah sebenarnya mereka lupa bahawa mereka adalah wakil rakyat. Atau lebih tepat mereka adalah 'kuli' rakyat!!
Para menteri termasuk diktator Mahathir sendiri hari ini, cukup angkuh dan sombong dengan kuasa yang mereka ada. Mereka lupa bahawa rakyat yang memilih mereka untuk berkuasa. Mereka cemuh rakyat yang mengkritik mereka. Mereka lupa perjuuangan asal mereka. Namun setiap 5 tahun sekali mereka cuba mengumpan rakyat dengan janji-janji manis mereka. Umpan dengan segala apa yang ada. Dari wang ringgit, dan apa sahaja.
Segala kritikan dan teguran rakyat dianggap fitnah belaka. Hendak dilakukan secara terang-terangan, bimbang akan ditangkap di bawah 'akta neraka' mereka. Apakah jenis manusia bersifat angkuh dan sombong, hinggakan teguran dan kritikan dianggap fitnah dan pembohongan semata. Rakyat dikatakan dengki dan bersifat hasad terhadap mereka.
Dengan peralatan media yang canggih hari ini, internet menjadi saluran paling telus dalam penyampaian berita semasa. Ia tidak memilih yang berpangkat atau tidak. 'Public figure' atau rakyat biasa. Namun segala yang menjadi agenda kepada kehidupan dan mempunyai kesan kepada generasi kita, perlu diperbincangkan, diperbahaskan dan didedahkan untuk pengetahuan masyarakat dalam satu bentuk informasi terkini dan telus pula.
Maka biar segala kepincangan, kritikan, teguran, maklumat, bertukar menjadi sesuatu yang manis pula. Di belakang setiap laman kritikan ini pula, adalah para webmaster yang juga terdiri dari rakyat biasa.
Lahir dari keinsafan mereka, bahawa segala yang menjadi petualang kepada keruntuhan tamadun manusia perlu disingkir atau dipinggirkan. Maka para webmaster bergabung tenaga dalam satu jihad yang berasaskan kepada niat dan kecintaan kepada kebenaran ugama Allah juga.
Maka selagi penyelewengan, korupsi, dan pelbagai jenis kegiatan rompakan harta negara tidak berakhir, selagi itulah perjuangan para webmaster tertegaklah jua. Sehingga matlamat itu berjaya dicapai, maka barulah ugama itu tertegak hanya untuk pengabadian diri kita kepada Kholiknya!!
Kepada para webmaster, untuk anda selamat berjuang untuk negara tercinta. Selamatkanlah Malaysia!!!!
HAPUSKAN PENYELEWENGAN, TEGAKKAN KEADILAN
Polong cyber
22 Mei, 1999