PENINGKATAN PERNIAGAAN ADALAH KERANA TERPAKSA
Biar pun Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROC) mencatatkan sejumlah 40,090 perniagaan baru di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga April tahun ini dan ia merupakan peningkatan 30 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, namun ada sesuatu yang berlaku disebaliknya terutama di negeri Perak.
Umpamanya berpuluh-puluh peniaga di Medan Gopeng Ipoh telah dipaksa oleh pihak tertentu supaya memindahkan perniagaan mereka ke bangunan baru Megaplek PKNP. Biarpun keadaan di bangunan tersebut jauh lebih baik daripada tempat sekarang, namun para peniaga merungut kerana bayaran sewa yang dikenakan lebih mahal dan tidak seimbang dengan perniagaan mereka dan mereka juga khuatir akan kehilangan pelanggan tetap mereka.
Contoh kegagalan yang berlaku dalam perniagaan makanan yang diuruskan secara yang sama ialah sepertimana dalam pengurusan perniagaan makanan di Ipoh Parade. Tingkat atas bangunan 4 tingkat itu sebelum ini menempatkan perniagaan makan dan panggung wayang (cinemapleks) namun perniagaan tersebut akhirnya merosot berbanding semasa mereka menjual di gerai-gerai kecil tepi jalan.
Akhirnya perniagaan menemui jalan buntu dan kebanyakkan peniaga kembali semula kepada aktiviti lama mereka, berniaga secara kecil-kecilan. Kegiatan ini telah membantu menaikkan bilangan pendaftaran perniagaan, namun ianya bukan menjelaskan angka sebenar kerana ramai yang sudah menutup perniagaan masing-masing.
Minda Rakyat
23 Mei, 1999