Kelantan masih mengekalkan status tanah berhutan yang lebih tinggi berbanding sesetengah negeri-negeri lain iaitu sebanyak 49.2 peratus, kata Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berkata, usaha itu merupakan satu sumbangan besar kerajaan Kelantan terhadap usaha mengekalkan kestabilan alam sekitar dan pemuliharaan flora serta fauna di negara ini.
Menurutnya, Kelantan telah mewartakan seluas 626,372 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal yang diurus secara berkekalan.
"Oleh demikian kita merasa sangat kesal terhadap pihak-pihak tertentu yang menggunakan media masa membuat dakwaan kononnya kerajaan Kelantan telah melakukan pencerobohan pembangunan hutan melebihi had dibenarkan tanpa memperdulikan kepentingan alam sekitar.
Berdasarkan rekod sejak 1994 lagi kita telah menebang hutan lebih rendah daripada kuota yang ditetapkan Majlis Perhutanan Negara (MPN)," katanya di majlis perasmian bangunan baru Pejabat Hutan Jajahan Kelantan Barat di sini, Isnin lalu. Perasmian pejabat baru yang bernilai hampir RM300,000 disempurnakan Sultan Kelantan.
MPN menetapkan had kawasan hutan yang boleh ditebang di Kelantan ialah 6,890 hektar setahun. Menteri Besar berkata, sejak 1994 sehingga sekarang Kelantan tidak pernah membenarkan penebangan hutan melebihi jumlah tersebut.
Misalnya tahun 1994 seluas 6,807 hektar, 1995 (6,731 hektar), 1996 (5,126 hektar), 1997 (5,679 hektar) dan 1998 (6,108 hektar).
Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberitahu penebangan sebenar banyak berlaku antara 1980 hingga 1990 yang melebihi kuota ditetapkan MPN.
Contohnya tahun 1985 seluas 13,503 hektar, 1986 (43,496 hektar), 1987 (33,870 hektar), 1988 (27,180 hektar) dan 1989 (40,151 hektar).
Manakala bandingan jumlah hasil yang dipunggut pada 1985 sebanyak RM23.87 juta, 1986 (RM30.13 juta), 1987 (RM33.13 juta), 1988 (RM37.60 juta) dan 1989 (RM42.87 juta). Tahun 1995 (RM99.52 juta), 1996 (RM69.17 juta), 1997 (RM56.45 juta) dan 1998 (RM42.96 juta).
"Berdasarkan kepada angka tersebut adalah jelas menggambarkan kerajaan negeri sekarang lebih bertanggungjawab, berhati-hati dan mematuhi peraturan yang dibuat pihak bertanggungjawab," katanya.
Baru-baru ini, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Dato' Law Hieng Ding dilaporkan berkata, kabinet memandang berat keingkaran kerajaan Kelantan memulihara alam sekitar apabila membiarkan 8,860 hektar hutan di Tanah Tinggi Lojing dibuka untuk kegiatan pembalakan.
Menteri Besar juga berkata, pembangunan tanah di Lojing dilakukan sebelum peraturan dan ketetapan baru diluluskan oleh MPN dikeluarkan.
Menurutnya, kawasan itu dibangunkan dengan kegiatan pertanian oleh beberapa agensi pertanian secara terkawal termasuk PKINK, Kada dan Yakin.
Menteri Besar juga berkata, untuk memastikan hasil tinggi dari sumber hutan, kerajaan negeri mengiatkan usaha mengurus pembangunan hutan sejajar dengan matlamat negara.
Ihsan: Harakah