NOV - DIS, LAPOR AKHBAR HARIAN SINGAPURA

ROMBAKAN kecil kabinet Malaysia telah menyemarakkan lagi ramalan bahawa pilihanraya umum negara itu semakin hampir, mungkin sebelum akhir tahun, lapor sebuah akhbar harian negara itu.

Minggu lalu Diktator Mahathir menggugurkan dua menteri veteran dan melantik tiga lagi dalam rombakan kabinet yang dipercayai sebahagian persiapan pilihanraya.

Datuk Seri Mohamad Khalil Yaakob, menerajui dua jawatan dianggap penting menjelang pilihanraya, iaitu Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO. Ini terutamanya dalam menghadapi sokongan orang Melayu kepada pembangkang, ekoran pemecatan dan penahanan DSAI, tahun lalu.

Kemungkinan perlantikan Khalil Yaakob juga adalah kerana sumbangan yang telah dimainkan oleh beliau dalam kemenangan BN sewaktu pilihanraya Sabah pada Mac lalu.

Pengguguran Datuk Mohamed nampaknya sudah dijangkakan sejak sebahagian tugas Kementerian Penerangan diserap di bawah Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia yang diketuai oleh Datuk Leo Moggie awal tahun ini.

Kali terakhir Diktator Mahathir merombak kabinetnya ialah pada Januari lalu dengan perlantikan Pak Lah 'B' sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Daim pula mengambil alih jawatan Menteri Kewangan, dan Menteri Pertahanan, Hamid Albar, dipindahkan ke Kementerian Luar.

Menurut akhbar itu lagi dalam rombakan kali ini, Diktator Mahathir cuba menunaikan janjinya untuk memberi ganjaran kepada sekutu beliau yang telah membantu BN memenangi pilihanraya Sabah walaupun timbul pelbagai andaian bahawa peluang sedemikian agak tipis angkara keretakan dalam Umno.

Diktator Mahathir percaya bahawa kemenangan itu akan merangsang sokongan kepada BN dalam pilihanraya umum negara ini.

Sewaktu pilihanraya Sabah, Khalil Yaakub dan Kadir Sheikh Fadzir telah bekerja keras membantu kempen BN. Khalil menjadi pengarah operasi kempen BN yang diketuai oleh Pak Lah 'B'.

Diktator Mahathir, satu-satunya perdana menteri paling lama berkuasa di Asia, sehingga kini terus menimbulkan teka-teki tentang bila pilihanraya akan diadakan lapor akhbar itu seterusnya.

Kalangan pemerhati politik yakin beliau mungkin mengadakan pilihanraya lebih awal. Beliau dijangka tidak akan menunggu sehingga tahun 2000. Senarai pengundi baru yang mendaftar hanya layak mengundi tahun depan dan kebanyakannya golongan muda yang anti kerajaan.

Pilihanraya juga tidak mungkin diadakan pada Disember kerana bersempena Ramadan. Tarikh yang disebut-sebut ialah antara Ogos dengan November. Diktator Mahathir dijangka menamatkan kempen menjelajah ke seluruh negara menjelang September. Kenyataan ini disokong bahawa tarikh itu mungkin awal November, iaitu selepas pembentangan belanjawan negara.

Umno masih beransur sembuh selepas pergolakan politik yang berpunca dari kes Anwar yang telah menimbulkan perpecahan di kalangan kaum Melayu, yang meliputi lebih separuh penduduk Malaysia, akhiri akhbar itu.

Minda Rakyat
25 Mei, 1999