ISU TANAH AKAN LUNTURKAN SOKONGAN RAKYAT

Pemberian tanah dan penyelewengan kuasa akan menjadi isu hangat rakyat negeri Perak menjelang pilihanraya umum nanti. Menteri Besarnya TSR Marcos hingga kini, masih mendabik dada 'kununnya' isu ini tidak mendapat sambutan hangat rakyat kerana telah menyusun strategi tertentu menanganinya.

Beberapa syarikat swasta dan badan berkanun sedang berusaha memenuhi permintaan rumah kediaman sebagaimana matlamat dalam RMK7 yang mahu mengujudkan sebanyak 17,200 buah rumah kos rendah.

Kumpulan EMKAY umpamanya, yang membina perumahan kos rendah di Taman Bercham Jaya, Taman Bercham Raya dan Taman Hulu Kinta, gagal memenuhi kehendak rakyat. Biarpun rumah kediaman boleh mempunyai potensi perniagaan begitu baik di negeri Perak, namun rakyat lebih selesa tinggal di perkampongan setinggan berbanding memiliki rumah yang mempunyai 2 atau 3 bilik dengan harga yang jadi topik hangat diperbincangkan.

Fakta ini jelas dilihat daripada 15,000 buah keluarga setinggan di negeri Perak, namun hanya 1,600 buah keluarga sahaja yang memohon untuk mendapatkan kemudahan kediaman kos rendah. Faktor permintaan ini pula dilihat tidak cukup kuat kerana permintaan tersebut adalah kerana terpaksa, setelah masalah-masalah tertentu tidak dapat diselesaikan. Umpamanya persekitaran hidup yang terdesak, seperti rumah yang kerap dibanjir kilat seperti Kg. Seri Aman dan Kg. Batu.

Selain itu, faktor keselamatan, kemudahan asas, perhubungan merupakan sebab utama sejumlah 1,600 orang penduduk memohon rumah kos rendah. Tahap ekonomi yang dimiliki rakyat masih berada di bawah paras kemiskinan kerana sesebuah keluarga majoriti menyara ahlinya yang ramai iaitu melebihi 5 orang.

Dengan keadaan ini, pendapatan bulanan rakyat masih belum mengizinkan mereka memiliki walaupun rumah rendah serendah RM33,000. Segala pendapatan yang lebih perlu dicurahkan untuk menyekolahkan anak-anak yang kini juga mencapai tahap membebankan ketua keluarga.

Minda Rakyat
25 Mei, 1999