KERAJAAN HARUS LEBIH JUJUR

Kerajaan Negeri Perak harus lebih jujur dalam menyelesaikan masalah pemberian tanah kepada rakyat. Kejujuran ini dipertikaikan apabila kerajaan negeri memutuskan untuk tidak lagi meluluskan sebarang projek kediaman masyarakat seperti RPT (Rancangan Perkampongan Tersusun).

Jika Kerajaan boleh meluluskan pemberian tanah kepada syarikat gergasi seperti Sun Way Lagoon Bhd di Bercham seluas 1,234 ekar, kenapa sebidang tanah seluas 80 X 50 kaki atau 90 X 60 kaki menjadi keberatan kepada PBN (Pihak Berkuasa Negeri) untuk meluluskan kepada rakyat.

Padang golf di Meru Height memakan tanah seluas beratus-ratus ekar hingga melangkaui Tanah Hutan Simpan sekalipun dapat kerajaan laksanakan. Padahal yang bermain golf hanya beberapa kerat sahaja di kalangan orang yang sudah mempunyai tanah dan rumah serta memiliki apa sahaja yang dihajatinya.

Untuk itu rakyat harus bangun menentang penyelewengan kuasa yang berlaku hari ini, kerana pengorbanan rakyat tidak dibalas dengan perjuangan membela nasib rakyat. Meskipun parti pembangkang belum mengambil kesempatan atas perkara ini, rakyat yang sedar sudah berniat untuk tidak lagi memberikan undi kepada kerajaan dalam pilihanraya umum nanti.

PAS dan parti pembangkang yang lain diseru untuk sama-sama berganding bahu dalam isu pemberian tanah di negeri ini khususnya Lembah Kinta, supaya rakyat lebih yakin dengan perjuangan mereka untuk membenteras kezaliman.

Minda Rakyat berpendapat satu unit khas atau pasukan bertindak perlu diwujudkan bagi membela nasib rakyat yang semakin dicengkam kezaliman kerajaan UMNO pimpinan TSR Marcos.

Minda Rakyat
25 Mei, 1999