LEMBAH BERIAH: BERMULANYA API PERJUANGAN
Minda Rakyat mengajak anda menyedari wujudnya strategi baru UMNO untuk memecahbelahkan kesatuan dan perpaduan orang Melayu yang menyokong kepimpinan ulamak. Ini boleh dilihat kepada beberapa fakta sejarah yang penting, dari mana asal PAS, penubuhannya serta gerakan pengaruhnya yang hampir dilupakan.
Atas rasa tanggungjawab untuk memperkemaskan perjuangan menentang kezaliman, Minda Rakyat kemukakan kepada anda beberapa fakta berikut yang sebenarnya tersimpan dalam kamus dan memori perjuangan PAS sendiri.
Penubuhan PAS secara rasminya ialah pada 24 November 1951. Walaupun begitu, pergerakan yang mencetuskan tertubuhnya PAS sebenarnya telah bermula jauh lebih awal iaitu sejak bermulanya pergerakan reformasi Islam di Tanah Melayu.
Pergerakan reformasi ini merupakan rentetan dari reformasi di Timur Tengah, khususnya di Mesir, yang dipelopori oleh Muhammad Abduh pada akhir abad Kesembilan Belas. Ianya telah menjalar ke Tanah Melayu dimana Syed Sheikh Al-Hadi telah menyebarkan pengaruh reformasi ini melalui majalah Al-Imam (1906-1908) dan akhbar Al-Ikhwan (1926-1931).
Pergerakan reformasi ini begitu berpengaruh dalam masyarakat Melayu sehingga ianya meresapi parti politik Melayu yang pertama iaitu Partai Kebangsaan Melayu Se-Malaya atau lebih dikenali sebagai MNP yang diasas pada bulan Oktober 1945.
Menyedari peri-pentingya pengaruh ini, MNP seterusnya telah menubuhkan sayap atau bahagian Islam dalam struktur organisasinya. Sayap atau bahagian Islam dalam MNP inilah yang bertanggung-jawab melahirkan MATA (Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya) yang darinya wujud Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol pada 14 Mac 1948.
Riwayat Hizbul Muslimin bagaimanapun tidak lama. Hasil dari desakan Dato' Onn Jaafar, yang ketika itu memimpin UMNO, Inggeris telah mengisytiharkan pengharaman Hizbul Muslimin menangkap pemimpin-pemimpinnya. Hizbul Muslimin telah disebut oleh Dato' Onn sebagai Red Islamic Party yakni cuba menyamakannya dengan pengaruh komunis yang merbahya. Beliau juga telah menyebut penubuhan Hizbul Muslimin sebagai "Bahaya Dari Gunong" kerana penubuhannya yang bertempat di Gunong Semanggol Perak.
Walaupun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti apabila bermula Dharurat pada bulan Jun 1948, semangat perjuangan yang kental di kalangan pendukung-pendukungnya akhirnya telah merintis kepada penubuhan PAS pada 24 November 1951.
Kita jangan lupa fakta sejarah bahawa pembangunan Lembah Beriah yang meliputi Gunung Semanggol adalah satu percubaan menghapuskan catatan sejarah perjuangan Islam di negara ini.
Justeru itu anda di pelbagai pihak termasuk PAS sendiri berkewajipan mempertahankan sesuatu yang menjadi mutiara kepada perjuangan menegakkan Islam di bumi tercinta. Jangan kita bersikap leka dan membiarkan UMNO melakukan sesuka hati mereka untuk memusnahkan perjuangan Islam dan sejarahnya, biarpun di mulut manis ucapan mereka.
Minda Rakyat
26 Mei, 1999