ISU FITNAH: CATATAN PAS

PERISTIWA hitam dalam sejarah politik tanahair berikutan pemecatan dari semua jawatan kerajaan dan parti terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai satu peristiwa yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah pertarungan politik tanahair. Bahkan peristiwa tersebut jauh dari apa yang dijangkakan oleh para penganalisa dan pengkritik politik khususnya tentang tuduhan-tuduhan yang dilemparkan.

Lanjutan daripada Tragedi 2 September, Dato' Seri Anwar Ibrahim melakukan 'roadshow' ke seluruh negara dan kemuncaknya di Masjid Negara pada 20 September sehari sebelum Sukom selesai. Dalam 'roadshow' yang berlangsung lebih kurang 2 minggu mendedahkan rahsia kurap pekung Umno dan kerajaan pada rakyat. Sama ada didedahkan oleh mulut Dato' Seri Anwar sendiri mahupun dari mulut-mulut pemimpin Umno yang diketuai oleh PM. Bahkan ceritanya semakin menarik apabila membuka laman-laman di Internet.

Jika sekadar pertentangan fikiran dan tidak secocok dalam bekerja adalah isu yang boleh diterima mudah oleh rakyat. Tetapi dengan isu moral yang rendah, tuduhan rasuah dan melakukan pengkhianatan terhadap negara, rakyat semacam tersentak dan sukar untuk menerima atau menolaknya.

Sebagai rakyat biasa, tragedi 2 September sebenarnya satu pengajaran kepada kita bahawa Umno tidak dapat menerima kehadiran Islam walaupun Islam yang dibawa adalah Islam ala-Anwar. Ini kerana dasar penubuhan dan sejarah perjuangan Umno tidak berdasarkan Islam sebaliknya menjadikan Islam sebagai satu alat untuk mencapai matlamat mereka.

Lantaran itu, Umno bermati-matian menolak Hudud dan meremeh-remehkan persoalan murtad. Begitu juga dengan keruntuhan akhlak masyarakat tidak menjadi isu jika persoalan itu tidak menjejaskan perkembangan ekonomi negara. Kemajuan ekonomi dan kemegahan menjadi kiblat dan tuhan baru.

Umno dapat menerima Islam sekadar memenuhi kehendak masyarakat yang mempunyai kecenderungan terhadap Islam. Meninggalkan Islam bermakna Umno akan kehilangan sokongan rakyat. Kehilangan sokongan rakyat bermakna Umno tidak mahu bergerak tanpa kuasa. Oleh itu, dalam keadaan sedemikian, Umno lebih selesa memperjuangkan perkara-perkara yang berkaitan syiar Islam yang tidak dilihat dengan dasar-dasar Islam yang sebenar.

Iktibar kedua pula daripada peristiwa ini, para pendukung Islam seharusnya tidak terpedaya dengan kilauan daripada syiar-syiar Islam yang dianjur oleh golongan sekular Umno. Anwar Ibrahim tertarik dengan dasar penerapan nilai-nilai Islam yang dianjurkan oleh Dr. Mahathir. Beliau semakin yakin 'ijtihadnya' menyertai parti sekular itu sebagai tepat apabila beliau mendapat kedudukan istimewa dalam kerajaan dan Umno. Anwar semakin ghairah melakukan Islamisasi dalam pentadbiran negara sehinggalah beliau merasakan langkah-langkah yang dilakukan telah menyempurnakan tuntutan dalam Islam yang sebenar.

Dalam keghairahan inilah, Anwar dan rakan-rakan tidak menyedari bahawa semua program yang disusun oleh mereka tidak dapat diterima sepenuhnya oleh kalangan pimpinan Umno totok. Namun mereka tidak dapat menyekat arus kebangkitan dan keghairahan golongan Anwar dalam kerajaan. Tambahan pula Anwar mengambil kesempatan untuk meluaskan dan memperkukuhkan kedudukannya melalui perlantikan dan pemilihan rakan-rakannya dalam posisi penting dalam agensi kerajaan dan swasta.

Dalam masa yang sama, Anwar melakukan satu tindakan yang silap apabila 'menyerang' PAS sebagaimana pemimpin Umno lain. Bahkan yang lebih mendukacitakan, tindakan Anwar lebih daripada pemimpin Umno asal dalam hal melakukan serangan terhadap PAS.

Oleh itu, golongan yang menyokong Umno kerana ketokohan dan batang tubuh Anwar yang dikatakan berusaha melakukan reformasi dalam Umno dengan Islam seharusnya menilai kembali langkah mereka. Kini terbukti, jalan yang diambil sudah ternyata salah dan tidak bermakna. ABIM dan JIM seharusnya akur betapa perjuangan PAS lebih relevan dengan dasar perjuangan Islam daripada Umno sendiri.

Tragedi 2 September mendedahkan kepada rakyat betapa gejala fitnah memfitnah merupakan suatu perkara yang menjadi asam garam dalam Umno. Mereka menggunakan surat layang, surat khabar dan media massa, jentera kerajaan serta yang lebih mendukacitakan ada dakwaan gejala ini dirancakkan dengan melibatkan institusi kehakiman, pihak berkuasa polis dan sebagainya.

Soal siapa yang benar antara Mahathir dan Anwar sudah tidak menjadi persoalan utama. Sebaliknya pertarungan ini semakin jijik dan meloyakan dengan fitnah dan tuduhan yang keterlaluan. Bukti dan hujah kini boleh direka dan dirancang. Fitnah mempunyai bukti dan hujah. Pertimbangan akal fikiran diketepikan. Rasa kebenaran untuk menegakkan kebenaran ditekan.

Tragedi ini mendedahkan erti sahabat dan musuh dalam selimut. Siapa yang menjadi sahabat dan orang terdekat Anwar ketika beliau berkuasa? Kini apabila beliau kehilangan segala-galanya, maka para sahabatnya telah berpaling tadah dan kini menyerangnya kembali. Umno hanya menjadikan orang yang berkuasa sebagai sahabatnya. Ini kerana definisi kuasa dalam Umno ialah kekayaan dan kedudukan. Definisi inilah yang sesuai dalam hati perut pemimpin-pemimpin Umno.

Anwar kini cuma dipertahankan oleh sahabat-sahabatnya dalam ABIM dan JIM. PAS pula mengambil sikap supaya keadilan diberikan kepada Anwar. Tindakan memecat dan mengISAkan, suatu tindakan yang zalim dari sudut perundangan dan akhlak manusia. Inilah yang sepatutnya Anwar nilai kembali siapa sahabatnya yang sebenar. Sahabatnya yang sebenar ialah mereka yang mempunyai kesedaran Islam dan memiliki keperibadian Islam yang jelas.

Jika dahulu, Anwar bersahabat dengan tauke judi, ahli korporat, politikus opportunis, artis dan sebagainya. Di mana mereka sekarang? Siapa yang membacakan doa selamat dan solat hajat ketika Anwar kesempitan? Mereka ataupun 'sahabat lama Anwar'? Mereka adalah pohon dedalu yang hidupnya hanya menumpang pada pokok yang besar dan subur. Barangkali inilah fitnah daripada pergaulan sahabat yang sumbang akhlak dan fikirannya!

Sesungguhnya tragedi 2 September ini meyakinkan kepada kita bahawa perjuangan untuk membela nasib agama dan tanahair sewajarnya ditanggung oleh kita semua. Umno cuma mewarisi kuasa yang dihadiahkan oleh British.

Pemimpin Umno kini lebih dipenuhi oleh golongan yang bergelumang dengan judi, perempuan, arak dan maksiat. Kenyataan ini boleh kita rujuk kepada kenyataan Marina Yusuf ketika beliau mempertahankan kedudukan Anwar Ibrahim. Begitu juga kenyataan-kenyataan yang dinyatakan sendiri oleh Anwar Ibrahim. Rakyat tidak menuduh sebaliknya Umno sendiri saling tuduh menuduh. Mereka hidup lama dalam kapal yang penuh kehancuran.

Kini masing-masing cuba melepaskan diri. Masing-masing cuba kembali kepada rakyat untuk meraih simpati dan sokongan.

Saudara pembaca yang budiman,

Sebenarnya, rakyatlah yang memiliki kuasa untuk menentukan pemimpin negara. Dan kita seharusnya bijak menggunakan kuasa melalui undi dalam pilihanraya. Kita seharusnya bangkit melakukan reformasi yang menyeluruh.

Minda Rakyat
26 Mei, 1999