KERAJAAN UMNO LEBIH GEMAR GADAI 'HOM'
Pembangunan yang merupakan agenda utama kerajaan pimpinan UMNO tidak menitikberatkan kepentingan orang Melayu, sebagai kaum bumiputera di negara ini. Ini bukanlah bermaksud bahawa rakyat mesti menolak terus semua agenda pembangunan. Namun hakikatnya pembangunan itu mestilah dilaksanakan atas prinsip mempertahankan hak rakyat, khususnya orang Melayu.
Negeri Perak masih mempunyai ruang untuk diisi dengan pelbagai agenda pembangunan. Jika di Selangor dan Wilayah Persekutuan telah mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dengan 1001 agenda pembangunan dengan bangunan pencakar langitnya, maka Lembah Kinta masih memiliki ruang untuk dimajukan dengan agenda yang lebih tersusun dan teratur.
Walau bagaimanapun hendaknya janganlah agenda itu melibatkan TSM (Tanah Simpanan Melayu) dan HOM (Hak Orang Melayu). Sehingga kini, agenda yang dibuat oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan TSR Marcos masih boleh dipertikaikan kerana beliau gemar menggadai TSM dan HOM kepada syarikat-syarikat korporat yang 'kununnya' didakwa projek-projek mereka boleh membantu pertumbuhan ekonomi negeri.
Setelah hasil lombong dan kayu balak semuanya diserahkan kepada 'tangan yang lain', maka kini TSM pula menjadi sandaran beliau dalam agendanya menlaksanakan pembangunan. Walaupun negeri Perak merupakan negeri yang terkaya suatu masa dahulu, sejak dari zaman penjajah lagi, namun ia kini boleh dianggap negeri yang miskin dalam apa jua bidang.
Tambahan lagi Selama merupakan daerah yang termiskin di negeri ini. Kejayaan dan hasil yang pernah mengangkat negeri Perak ke mercu antarabangsa dalam industri bijih timah, menjadi sia-sia apabila rakyat masih hidup di bawah paras kemiskinan.
Kewujudan lebih 15,000 buah keluarga setinggan di negeri ini adalah bukti kukuh kegagalan Kerajaan negeri khususnya d bawah pentadbiran TSR Marcos selama tiga penggal lalu, untuk merubah taraf hidup rakyat, khusus di luar bandar.
Walau pun tidak dinafikan pembangunan yang dilaksanakan, namun perancangan dan skop yang terlibat tidak mendatangkan faedah secara langsung kepada rakyat. Misalnya, kenaikan taraf pelabuhan Lumut tidak menampakkan kesan ke atas pertumbuhan ekonomi negeri. Projek lebuhraya hanya bersifat keperluan dan tidak merangsang kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang boleh dibanggakan.
Rakyat tidak boleh bergantung hidup kepada peradaban ekonomi yang dicanangkan oleh TSR Marcos. Penghijrahan mereka ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Pulau Pinang dan Singapura tidak dapat dibendung. Akhirnya lahirlah kegiatan ekonomi yang tidak sihat hingga melahirkan perkataan 'Ipoh Mali'.
Semua ini mencerminkan kegagalan dasar yang dijalankan oleh TSR Marcos. Rakyat menjadi mangsa hanya mampu berpeluk tubuh kerana sekatan tertentu yang menjadikan mereka bangsa yang memiliki 'budaya takut'. Hanya segelintir yang berani menyertai perjuangan NGO dan parti pembangkang sebagai wadah yang telus untuk perjuangan memartabatkan ugama Islam, membenteras kezaliman dan seterusnya membela HOM dari terpinggir di mellinum baru.
Minda Rakyat
26 Mei, 1999