SILEX GADAI KETUANAN MELAYU
Projek Lebuh Raya Ipoh (Simpang Pulai) - Lumut (Seri Ipoh - Lumut Expressway - SILEX) yang dirancangkan merupakan satu lagi bukti kepada rakyat negara ini bahawa Kerajaan UMNO lebih mementingkan 'kroni' daripada mengambil berat tentang penderitaan rakyat. Mengapakah setiap kali projek kerajaan hendak dijalankan, rakyat mesti membantah?
Rasionalnya projek yang lebih dikenali sebagai 'Projek SILEX' ini merupakan kepentingan kepada UMNO yang kian terdesak memungut ringgit bagi meneguhkan semula pengaruh dan sokongan kepadanya. Jika benar projek ini menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri, sebagaimana di dakwa oleh TSR Marcos, dimanakah rasionalnya ia semasa diperingkat perencanaan.
Projek SILEX adalah atas usahasama Teras Cemara Sdn. Bhd. dan PKNP (sekarang dikenali Perampas Kekayaan Negeri Perak). Kos projek ini melebihi RM1 billion. Ia merupakan lebuhraya dua lorong sepanjang 70 kilometer dari Simpang Pulai (persimpangan bertingkat PLUS), hingga ke Lumut.
Sebagai balasan kepada usaha gigih Teras Cemara Sdn. Bhd. yang juga merupakan anak syarikat MRCB ini, maka diberi konsesi kutipan tol selama 35 tahun. Projek SILEX lebih merupakan satu projek yang 'rugi' kerana mengikut statistik kajian yang dijalankan oleh LLM bahawa bilangan kenderaan yang dijangka melalui lebuhraya SILEX ini hanya lebihkurang 1,000 buah sahaja sehari.
Memandangkan projek SILEX ini adalah penting 'kununnya' kepada TSR Marcos, maka ia perlu diteruskan juga. Sebagai imbuhan untuk menutup kerugian ini, MRCB diberikan konsesi membangunkan Bandar Seri Iskandar di bawah anak syarikatnya SIDEC (Seri Iskandar Development Corporation) yang tidak kurang seluas 1,000 ekar dengan bayaran premium yang paling minima.
Apakah kepentingan lebuhraya SILEX yang menjadi pemangkinan kepada ekonomi negeri ini? Pertama, projek SILEX akan me'relax'kan lebih banyak petani dan peladang Melayu yang suka berkebun dan bertani. Laluan lebuhraya ini akan memusnahkan banyak dusun durian dan buah-buahan tradisi yang terkenal di daerah Perak Tengah, khususnya Bota.
Akan musnahlah tradisi 'musim buah-buahan' di daerah ini kerana bilangan pokok yang tiada lagi. Ini juga memberikan tamparan hebat kepada masyarakat kota yang suka makan buah-buahan tempatan seperti petai dan durian. Keharmonian kaum dan perpaduan nasional akan terjejas kerana di musim buah-buahan orang Cina dan India serta bangsa lain akan membeli buah-buahan tempatan, sambil berkenal-kenalan antara satu dengan yang lain.
Disamping itu juga ia melibatkan sedikit sawah padi di Bota Kiri dan Titi Gantung dan keluasan pengorbanan tanah orang Melayu dalam projek SILEX ini dianggarkan sebanyak 63 peratus. Sebagai balasan kepada pengorbanan ini, orang Melayu Bota dan Titi Gantung hanya akan dibenar melihat berbagai kenderaan yang lalu lalang kerana tiada persimpangan tol yang dibina di kawasan mereka.
Kedua, projek SILEX ini membantu memusnahkan Tanah Pusaka Melayu. Jika Hang Tuah pernah berkata, 'takkan Melayu hilang di dunia', maka kata-kata Hang Tuah itu sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Bersempena dengan terlaksananya lebuhraya SILEX ini, maka pengorbanan generasi lalu dimusnahkan dalam sekelip mata sahaja, tanpa pihak yang tertentu merasakan sensitif akan pengorbanan ibubapa serta generasi sebelum merdeka yang berjuang untuk 'sekangkang kera' tanah.
Projek lebuhraya SILEX juga membantu mengecilkan saiz 'ketuanan Melayu' apabila tanah yang terlibat tidak diganti, apalagi jika tanah itu termaktub 'endorsement' status Simpanan Orang Melayu. Akibatnya orang Melayu di mellineum baru akan tinggal nama dan layak untuk disimpan dalam Muzium Darul Ridzuan yang terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang, Ipoh.
Biar apa pun rintihan rakyat TSR Marcos tidak akan mendengar keluhan itu. Malahan sebaliknya menyifatkan kritikan sebagai lahir dari 'mereka yang terkecewa'. Justeru itu Minda Rakyat menyeru semua lapisan rakyat supaya menangkis perbuatan pemimpin yang merosakkan ketuanan Melayu dan menggadai kepentingan mereka di hari muka dengan memastikan mereka tersingkir dari persada pemerintahan negara.
Minda Rakyat. - sumberBekas Pentadbir.T.K.
26 Mei, 1999