RAKYAT TIDAK TERHUTANG BUDI

Beberapa hari lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta para pelajar baru institusi pengajian tinggi awam (IPTA) supaya tidak mempercayai pelbagai khabar angin termasuk dakwaan kononnya kerajaan akan menaikkan yuran pengajian berikutan pelaksanaan sistem pengkorporatan IPTA.

Menurut beliau, meskipun kerajaan berhasrat untuk melaksanakan pengkorporatan di IPTA negara ini, ia tidak semestinya memerlukan semua universiti melaksanakan kenaikan yuran secara mendadak.

Kenyataan Najib jelas membayangkan kepada rakyat, bahawa mereka (pelajar) bagaimana pun tidak akan dapat mengelakkan diri dari menanggung segala kos pembelajaran yang dilalui. Cuma kenaikan itu dilakukan secara beransur-ansur atau mendadak.

Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang ditubuhkan bukan satu bentuk biasiswa yang membantu para pelajar, malahan sebaliknya mengajar rakyat terus berhutang semasa di peringkat pengajian lagi supaya apabila mereka keluar dari IPTA, budaya berhutang sudah tertanam dalam jiwa mereka.

Najib juga menjelaskan, yuran sebenar yang dikenakan kepada para pelajar selama ini adalah 10 peratus daripada kos sebenar pengajian setiap pelajar baru di universiti. Dakwanya, kerajaan telah berjaya menunaikan tanggungjawab itu sejak berpuluh-puluh tahun lalu tanpa sebarang masalah.

Ini satu pembohongan yang besar kerana kebanyakkan para menteri dan pegawai tinggi kerajaan yang ada hari ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan melalui pelbagai jenis biasiswa dan mereka tidak perlu membayar balik.

Hanya semenjak pertengahan tahun 1980'an, Kerajaan sudah memikirkan bahawa kos pendidikan adalah satu bebanan, bukan tanggungjawab sosial. Kesemua perubahan ini berlaku semenjak kerajaan diperintah oleh Perdana Menteri Diktator Mahathir Mohammad.

Jika benar dakwaan Najib itu, persoalannya apakah rakyat (para pelajar) mesti menanggong semua kos pembelajaran dan penyelenggaraan IPTA. Dimanakah tanggungjawab Kerajaan untuk membela nasib rakyat. Kemanakah hasil mahsyul negara ini, jika soal pendidikan pun Kerajaan gagal menanganinya?

Hakikat yang sebenarnya kini tidak timbul soal membalas budi oleh para pelajar IPT kepada pihak IPTA mahupun Kerajaan apabila mereka keluar nanti, kerana pembiayaan pendidikan mereka selama berada di IPTA adalah atas tanggungan keluarga dan diri masing-masing. Oleh itu Najib tidak boleh memaksa para pelajar IPTA mengikut sesuka hatinya.

Minda Rakyat
27 Mei, 1999