PROJEK MEGAH, PROJEK PEMBAZIRAN!!
Kejayaan pesawat Hercules C130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan tiang layar Jalur Gemilang (JG) ke kepuluan Falklands mendapat ucapan tahniah dan syabas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Demikianlah penghargaan yang tertinggi dari seorang PM yang selalu membazir kerana mengejar nama dan kemegahan.
Dr Mahathir berkata, usaha membantu JG dengan membawa tiang layar dari Australia ke kepulauan Falklands itu, bagi membolehkan pelayar Azhar Mansor meneruskan pelayarannya untuk mencatat rekod mengelilingi dunia dengan kapal layar. Walau bagaimana pun dengan bantuan yang diterima Azhar dan JGnya tidak layak untuk menerima gelaran belayar secara solo.
Di zaman lampau kita pernah mendengar sejarah yang berlaku iaitu Panglima Awang yang sebagai orang Melayu yang pertama mengelilingi dunia setelah rombongan yang disertainya hanya tamat di Filipina. Samada fakta sejarah ini masih menjadi rujukan Mahathir atau tidak ia tetap dalam catatan sejarah kebanggaan orang Melayu.
Tambahan lagi sewaktu itu tiada apa-apa kemajuan yang dicapai dari segi kecanggihan pelayaran, namun dengan tulang empat kerat Panglima Awang berjaya balik secara solo dari Filipina ke Tanah Melayu. Keazaman dan ketahanan yang tinggi ini adalah semangat yang sudah lama wujud dalam sanubari rakyat Malaysia.
Tambahan pula kos pelayaran dan penyelenggaraan krew yang terlibat memakan perbelanjaan jutaan ringgit. Di tengah kemelut ekonomi melanda, rakyat melihat satu bentuk pembaziran dan kemegahan itu pula tiada nilainya di sisi Allah.
Minda Rakyat
27 Mei, 1999