ISU CURI BALAK: TSR USAHLAH BERPURA-PURA

Terasa gelihati Minda Rakyat meneliti ayat demi ayat yang tertulis di akhbar Utusan Malaysia hari ini di bawah tajuk 'Kerajaan Akan Memantau Curi Balak'.

Dalam kenyataan akhbarnya TSR Marcos mengatakan bahawa sesiapa yang bekerjasama dengan AJK Pemantauan Kes Curi Balak (yang bakal ditubuhkan) akan menerima ganjarannya sehebat 10 peratus dari nilai kayu balak yang dicuri.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak diarah membayar sertamerta imbuhan yang bernilai RM1,000 dan ke bawah, tetapi jika nilai 10 peratus melebihi RM1,000 mestilah dipohon kelulusan Y.B. Pegawai Kewangan Negeri Perak.

Sesungguhnya pengumuman TSR Marcos ini sebenarnya hanyalah satu helah kepada beliau yang malu-malu alah jika isu balak terus diperbincangkan. Minda Rakyat ingin memaklumkan bahawa pencuri kayu balak negeri ini yang paling aktif ialah beliau sendiri dengan restu persekongkolan ahli-ahli EXCO yang juga menjadi 'burung kakak tua' TSR Marcos.

Jika benar kerajaan telus menangani isu curi balak, ianya mesti bermula dari A. Bukan bermula dari M atau S. Pemberian konsesi sendiri sudah cukup menggambarkan bahawa peranan TSR Marcos dan para ahli EXCOnya menjadi perompak dan penyamun harta negeri. Siapa yang akan membayar imbuhan ini kepada Minda Rakyat kerana mendedahkan penyelewengan dan curi balak harta negeri?

Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Perak baru sahaja ditubuhkan beberapa tahun lalu. Mereka terdiri dari seorang renjer hutan kanan dua orang pengawas hutan seorang pemandu. Menurut maklumat dari Jabatan Perhutanan, renjer kanan tersebut sudah bersara dua tahun lalu tetapi hingga ke hari ini belum ada penggantinya.

Tugas unit penguatkuasa ini menjaga hutan simpan yang seluas 1 juta hektar dari sebarang pencerobohan. Bayangkanlah apalah kuasa beberapa kerat manusia ini yang dibekalkan dengan sebuah pajero untuk memantau aktiviti curi balak? Tambahan konsesi balak dimiliki oleh kroninya yang akan melapurkan siapa yang menjadi pelapor dan akibatnya kakitangan itu akan menanggung risikonya, seperti ditukarkan ke tempat lain. Ini pernah berlaku.

Justeru itu, unit ini telah mengubah haluannya dan bergerak dari satu kilang ke satu kilang lainuntuk memungut 'angpau'. Setiap hari satu kilang, maka hasil siasatan mendapati seorang pengawas hutan yang baru masuk kerja (belum 'confirm')sudah boleh memiliki sebuah proton terpakai pada harga sekitar RM20,000.

Apakah rasionalnya TSR Marcos mengumumkan ahli jawatankuasa pemantauan ini hanyalah mahu menkayakan setiap orang mereka. Industri balak negeri Perak penuh tipu muslihat kerana ia telah bermula dari peringkat penyediaan pelan, penyediaan laporan, penyediaan kertas MMK, pemutus dalam MMK dan berterusan kepada peringkat mengeluarkan surat tawaran, pengeluaran permit, penyediaan tukul besi, urusan cop kayu, urusan pemeriksaan kayu yang ditebang dan diangkut hingga laporan di kilang dan pemeriksaan kayu juga penuh dengan tipu muslihat.

Benarlah sebagai perbidalan, Bapak kencing berdiri, anak kencing berlari …. Usahlah bersandiwara lagi wahai TSR Marcos!!! Undurlah kerana rakyat sudah membencimu…

Minda Rakyat
27 Mei, 1999