DASAR PENGKORPRATAN MENYIKSA RAKYAT
Kemelut politik yang melanda UMNO hari ini lebih banyak mendatangkan petaka kepada rakyat. Natijah yang berpanjangan akan meresapi hingga ke akar umbi. Akan tetapi UMNO sebagai parti yang tidak relevan lagi buat rakyat tetap meneruskan agendanya untuk mengaut keuntungan, tanpa sedikit pun menghiraukan perasaan rakyat.
Keangkuhan UMNO dilihat dipelbagai sudut. Satu demi satu kepimpinan UMNO meluluskan program yang semuanya memberikan keuntungan kepada syarikat-syarikat kepunyaan VVIP UMNO dan kroni-kroninya. Sedang rakyat yang menangis minta dikasihani sedikit pun tidak dihiraukan.
Langkah terbaru kerajaan menubuhkan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (TPTN) hanya helah baru untuk menyiksa rakyat. Prinsip pinjaman pelajaran tidak ubah seperti bank saudagar yang sedia memberikan sebarang bentuk pinjaman yang diperlukan. Penubuhan TPTN hanya bersifat menangguk di air keruh dan tidak menyelesaikan masalah kewangan pelajar.
Tindakan yang lebih rasional ialah menjadikan pendidikan sebagai satu pertanggungjawaban sosial di pihak Kerajaan sebagai balasan selama 42 tahun rakyat memilih mereka. Jika balasan itu berupa siksaan maka tidaklah manis untuk dibanggakan oleh rakyat dan tidak hairanlah jika rakyat berubah fikiran dan sokongan.
Rakyat juga menunggu dalam debaran akan satu lagi langkah pengkorpratan yang dalam dilema iaitu perkhidmatan kesihatan. Jika semuanya rakyat terpaksa beli, untuk apakah sebuah rakyat memilih Kerajaan itu lagi?
Minda Rakyat
28 Mei, 1999