REALITI TAK BENARKAN KIT SIANG JADI PM?

Bernama memetik Presiden PAS Datuk Haji Fadzil Mohd Noor hari ini sebagai berkata bahawa realiti politik tidak membolehkan Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ini kerana majoriti kawasan pilihan raya Parlimen di negara ini dikuasai orang Melayu.

"Sekarang kita tidak hendak bercakap soal siapa yang akan mengetuai, kita tak nak bercakap tentang sesuatu yang belum wujud kerana ia boleh menimbulkan ketidaksefahaman, ketidakseragaman," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian muktamar tahunan PAS di Markas PAS Taman Melewar.

Fadzil, yang diminta mengulas soal siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan parti-parti pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang, berkata Lim sendiri tidak pernah menyatakan bahawa dia mahu menjadi Perdana Menteri.

Mengenai kenyataan Parti Keadilan Nasional yang mahu bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri apabila kerajaan Barisan Nasional ditewaskan dalam pilihan raya nanti, Fadzil berkata ia akan terpulang kepada keadaan.

Kedudukan Anwar belum jelas kerana dia telah dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah baru-baru ini dan tidak diketahui sama ada beliau boleh bertanding dalam pilihan raya. Anwar pada masa ini belum menyertai mana-mana parti politik, selepas dibuang dari keahlian UMNO pada 2 September tahun lalu.

Dato' Fadzil memberitahu bahawa, pakatan parti-parti pembangkang adalah untuk menegakkan keadilan sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat pada masa ini.

Dato' Fadzil mengulas kedudukan masyarakat Cina yang sebelum ini telah memberi sokongan kepada PAS dalam beberapa pilihan raya yang lepas dan tidak harus ada sebarang prasangka mengenai perkara itu.

Dalam ucapan dasarnya Fadzil berkata pembangkang yang berbeza ideologi harus bersepakat atas nama keadilan untuk melancarkan gerakan perubahan bagi menubuhkan sebuah kerajaan alternatif di negara ini.

Mengenai dakwaan bahawa PAS tidak mempunyai perancangan lebih komprehensif untuk mentadbir negara ini selain pengalaman mentadbir Kelantan dan tidak pula memberi sebarang gambaran menerusi akhbar rasmi parti "Harakah" bagaimana PAS akan mentadbir negara ini, beliau berkata: "Sebelum merdeka dulupun tidak ada gambaran juga".

Katanya, pegawai pentadbir yang beramanah sudah tentu mampu menguruskan pentadbiran negara ini dengan baik. "Perubahan pimpinan parti politik bukan bermakna perubahan jentera pentadbiran...dasar sahaja," katanya.

Minda Rakyat
28 Mei, 1999