PELAJAR PERLU INSAFI PERBUATAN CURANG PEMIMPIN MASA KINI

Sesi pertemuan pemimpin kerajaan dengan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang diadakan sekarang tidak mempunyai sebarang muslihat tersembunyi. Demikian kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Memandangkan ia tidak pernah terjadi sebelum ini dan kebetulan ia adalah selepas berlakunya gerakan reformasi negara, maka pertemuan itu mendatangkan rasa kesangsian pelbagai pihak bahawa Kerajaan bersifat 'mengugut' dalam meneruskan perlaksanaan pemerintahannya setelah berbagai lapisan masyarakat negara ini termasuk guru dan kakitangan kerajaan dikenakan amaran sedemikian kerana memberikan sokongan mereka kepada parti pembangkang.

Najib cuba menyembunyikan sesuatu dengan mengatakan bahawa selain daripada ingin merapatkan hubungan antara pelajar dengan kerajaan serta memberi mereka lebih banyak peluang mengenali serta menghayati perjuangan para pemimpin dalam membina negara yang kukuh dan stabil, kerajaan tidak mempunyai sebarang muslihat lain.

Sudah pasti Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan melahirkan rasa kebimbangannya selepas melihat perkembangan para pelajar IPTA menyokong gerakan reformasi yang dicetuskan oleh DSAI selepas penyingkiran beliau secara 'hina' oleh MT UMNO.

Para pelajar IPT merupakan kesinambungan kepada perjuangan pemimpin yang ada sekarang dan mereka perlu melaksanakan kebenaran apabila telah bersedia memegang tanggungjawab sebagai pemimpin. Rakyat tidak mahu lagi melihat mereka meneruskan dasar kezaliman yang telah diterokai oleh para pemimpin masa kini yang secara terang-terangan melaksanakan nepotisme dan kronisme dalam pentadbiran Kerajaan.

Minda Rakyat
29 Mei, 1999