RM62 bilion Hutang Negara Dicipta 1998-2000

Bon Global bernilai US$1 bilion (RM3.8 bilion) yang dilancarkan dan diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia di New York memulakan era penjajahan ekonomi negara ini kepada negara asing. Penjajahan ini mendedahkan bahawa apa jua faktor dalaman negara terpaksa tunduk dan akur kepada kehendak pelabur yang akan memastikan pulangan kepada pelaburan mereka.

Namun di sebalik itu, Qarun Malaysia yang mengetuai rombongan mempromosi bon itu merasa cukup bangga kerana berjaya mengumpulkan wang hasil jualan bon bagi membiayai syarikat-syarikat korporat yang semakin tenat dan perbelanjaan UMNO menjelang pilihanraya umum sedikit masa nanti.

Alasan beliau bahawa disebabkan kepercayaan para pelabur terhadap prospektus ekonomi negara ini sehingga memesan 300 peratus dari jumlah bon yang ditawarkan itu bukan sesuatu yang mengejutkan. Oleh itu beliau menyifatkan, sebarang andaian negatif mengenai kedudukan ekonomi Malaysia adalah semata-mata berniat serong.

Bon dengan tempoh matang 10 tahun pada kadar kupon (atau faedah) 8.75 peratus itu, mempunyai julat 330 mata asas, berbanding bon Perbendaharaan Amerika yang mempunyai tempoh matang serupa.

Mengikut maklumat, minat terhadap bon Malaysia membabitkan 134 akaun berkualiti tinggi yang didaftarkan iaitu 23 dari Eropah, 49 dari Asia dan 62 dari Amerika Syarikat. Pengarah Urusan dan Ketua Unit Pendapatan Tetap Salomon Smith Barney, Stephen H Roberts mengakui kejayaan menerbitkan bon itu membuktikan kesilapan pengkritik terhadap Malaysia.

Hakikatnya, penerbitan bon antarabangsa merupakan alternatif kepada Malaysia yang nyata gagal mendapatkan pinjaman negara asing, sekalipun dari Jepun mahupun negara Berunai. Malaysia sudah membuat pinjaman asing berjumlah RM15.895 bilion sehingga 31 Mac lalu. Kebanyakan pinjaman asing itu diperolehi daripada Pelan Miyazawa yang keseluruhannya bernilai RM9.28 bilion, termasuk RM1.535 billion yang diluluskan oleh Bank Dunia. 12 bank asing yang beroperasi di negara ini juga memberi pinjaman bersindiket berjumlah RM5.13 bilion kepada Malaysia bermula Disember 1998.

Keperluan membiayai defisit (kekurangan) belanjawan 1999 ialah sebanyak RM16bilion. Menurut maklumat MTEN, sebanyak RM62 bilion diperlukan untuk membiayai usaha pemulihan ekonomi antara 1998-2000.

Minda Rakyat: sumber Bekas Pentadbir
29 Mei, 1999