Tukar Menukar Bukan Agenda Baru
Tindakan menukarkan kakitangan Kerajaan yang terbabit dengan parti pembangkang, bukan agenda baru Kerajaan UMNO. Ia telah bermula sejak lama dulu dan amat dikesan sejak dua dekad lalu, setelah Diktator Mahathir berkuasa menerajui pemerintahan negara.
Merujuk kepada kes 3 orang guru dikenakan tindakan tatatertib di Terengganu baru-baru ini, termasuk ditukar ke tempat lain berikutan pembabitan dalam parti politik pembangkang, itu sesuatu yang lumrah. Jumlah yang dilaporkan akan lebih banyak apabila Kementerian Pendidikan membuat pemantau dalam kes ini dan jika diamati setelitinya, MR percaya bilangan peratus guru-guru atau kakitangan Kerajaan yang akan ditukarkan kerana kes yang sama melebihi 50 peratus.
Cuma ada yang melakukan sokongan itu secara terbuka dan yang mendiamkan diri, merasa 'agak selamat' untuk meneruskan agenda masing-masing. Tindakan menukarkan guru-guru ini merupakan susulan kenyataan TPM, Pak Lah 'B', berhubung sikap segelintir guru dan pensyarah di institut pengajian tinggi yang dianggap sebagai 'pagar makan padi' dengan menghasut pelajar membenci kerajaan.
Pak Lah 'B' mencabar para guru yang tidak berpuas hati dengan kerajaan dengan meminta mereka meletak jawatan dan menyertai politik sepenuhnya. Dalam Perintah Am kebenaran diberi untuk kumpulan B, C dan D untuk melibatkan diri mereka dengan politik manakala kakitangan kumpulan A terikat dalam sebarang kegiatan politik.
Minda Rakyat
29 Mei, 1999