Usah Cemburu Sumbangan Rakyat
Media ciptaan UMNO sejak mutakhir ini seringkali mengenengahkan isu wang rakyat yang dikutip dalam siri ceramah PAS. Wang tersebut kemudiannya dipersoalkan kerana telah membantu beberapa pihak yang tidak disenangi UMNO. Umpamanya BH hari ini menyentuh Masjid Rusila yang dibina atas duit rakyat.
UMNO sebenarnya cemburu atas sumbangan ikhlas umat Islam. Rakyat yang cintakan Islam dan benar-benar mahu melihat proses Islamisasi tertegak di atas bumi Allah akan sanggup menggadaikan apa sahaja sebagai jihad mereka kepada Allah. Justeru itu tidak hairan dalam siri ceramah PAS, mereka terus sumbangkan wang ringgit sebagai pertolongan yang termampu oleh mereka dalam menjayakan kemenangan PAS agar Islam itu didaulahkan ke takhta yang sewajarnya.
Berbanding UMNO, jika tidak diberi ganjaran, kakitangan mereka sendiri tidak akan melakukan sebarang kerja, termasuk menggantung bendera atau menampal poster. Ini kerana kerja-kerja parti itu tidak diistilahkan sebagai jihad, kerana UMNO tidak pernah berazam meletakkan Islam sebagai perjuangannya dan secara ikhlas mahu mengujudkan negara Islam yang berdaulah, sekalipun telah memerintah selema 42 tahun.
Umat Islam percaya 'jihad' hanya ada dalam PAS dan sebaliknya tidak wujud dalam UMNO. Oleh kerana perjuangan yang dituntut Allah itu memerlukan pengorbanan mereka, maka mereka akan sanggup lakukan apa sahaja demi tertegaknya sebuah negara Islam.
Para pimpinan PAS pula diberi kepercayaan dan amanah oleh rakyat yang cintakan kebesaran Allah. Berbanding dengan pimpinan UMNO yang hanya membela beberapa kerat golongan, menggunakan kuasa mereka untuk mengaut kekayaan negeri untuk peribadi orang tertentu dan tabung UMNO sendiri, untuk memulakan sebarang aktivitinya termasuk kempen menjelang pilihanraya.
Lantaran kegawatan ekonomi menyebabkan banyak cawangan UMNO menderita kerana ketandusan 'fulus' untuk menjana aktiviti mereka. Kerana itulah dilihat pimpinan mereka kesana kemari menjaja dana dan apa sahaja untuk mencipta wang melalui hutang dan gadaian negara bagi membiayai perjalanan pilihanraya yang memerlukan bukan sedikit peruntukan.
Jika di Sabah peruntukan bagi sebuah ADUN memakan RM500,000 bayangkan berapa ratus kerusi ADUN yang ada di Semenanjung dan jumlah wang yang diperlukan untuk memastikan UMNO terus menang dengan undi belian.
Jadi, usah cemburu sumbangan rakyat kepada PAS. Jihad hanya ada dalam PAS, sebaliknya tidak wujud dalam UMNO. Rakyat diseru meneruskan jihad supaya ugama Islam diletakkan sebagai tertinggi, teragung sehingga jadilah ugama itu hanya untuk Allah
MR~ 30 Mei, 1999