Rakyat Lebih Yakin Kematangan Politik PAS

Muktamar Agong PAS kali ke 45 tamatlah sudah. Perhimpunan agong sebegini besar jarang-jarang sekali kita lalui. Melalui perkumpulan dwi tahunan begini para ahli lama dan baru, saling bertukar fikiran dan menyatakan pandangan masing-masing. Saling tolak ansur dan kerjasama antara sesama ahli, serta kefahaman terhadap dasar perjuangan PAS merupakan tali ikatan penyatuan kesinambungan jihad yang berterusan.

Perhimpunan sebegini besar juga pernah berlaku dalam organinasi dan pertubuhan politik yang lain. Namun tidak wujud kekecohan dan persengketaan, malahan rasa ukhuwah begitu mendokong di hati para ahli PAS.

Persaudaraan hasil ikatan jihad yang dilahirkan oleh ugama Islam nan suci benar-benar dihayati sekaligus memperlihatkan kepada rakyat lain negara ini bahawa ugama Islam sesuatu yang perlu dikagumi dan dicontohi. Tidak seperti gembar gembur yang dilahirkan media yang sering mencari sesuatu yang sensasi dan tidak berasas.

Kerap juga berlaku dalam perhimpunan sebesar ini di parti lawan berakhir dengan permusuhan, perpecahan, keretakan, kekecewaan, kesedihan, tuduh menuduh, sindir menyindir hingga melahirkan perkumpulan perkumpulan kecil dalam parti. Malahan tidak keterlaluan juga dinyatakan dalam perhimpunan sebesar ini kesempatan kepada mereka mengedar 'surat layang' atau buku yang membawa kepada propaganda sesuatu isu untuk jatuh menjatuh antara satu dengan yang lain.

Kepada rakyat, semua ini dikaji dan diteliti sebagai sesuatu yang menjadi asas pertimbangan untuk menilai kemampuan sebenar sesuatu organisasi politik samada mereka benar-benar jujur dalam menjalankan urusan pentadbir negara. Rebutan kuasa hingga membawa kepada sifat tamak haloba, berkumpulan-kumpulan adalah unsur-unsur yang tidak sihat dalam proses meraih kepercayaan rakyat yang memilih mereka semasa proses pilihanraya.

Sudah semestinyalah 'kesan' yang dilahirkan oleh perhimpunan atau muktamar yang sebesar ini mencerminkan kepada rakyat bahawa PAS benar-benar jujur dalam perjuangannya menegakkan kalimat tauhid di hati umat Islam dan menegakkan Islam di bumi Malaysia.

Malangnya, kejernihan dan keceriaan ini tidak pernah menjadi agenda media untuk memperlihatkan kepada rakyat bahawa kecemerlangan kerja berpasukan lebih utuh dan jitu dalam PAS. Malahan awal-awal lagi media (TV3) telah menyelar PAS kerana mereka tidak diberi peluang untuk membuat liputan ucapan dasar presiden semasa muktamar berlangsung.

Hari demi hari media Kerajaan mempertontonkan 'nilai buruk' sebagai hidangannya kepada rakyat dengan melaga-lagakan antara isu yang dibawa oleh perwakilan dengan kepimpinan PAS. Namun apa yang sebenarnya berlaku bahawa para ahli bebas meluahkan pandangan mereka secara terbuka dan tidak mudah disogok oleh 'propaganda' dan provokasi yang cuba dibawa oleh media dan 'anasir jahat'.

Muktamar Pas kali ke 45 ini memperlihatkan beberapa muka baru dalam kabinet PAS. Antaranya yang popular ialah Dato' Dr. Hassan Ali dan Dato' Ismail Kamus. Kehadiran mereka bukan sahaja sebagai membantu mengukuhkan kabinet PAS Pusat 1999/2001 tetapi secara lebih realistik dan tidak keterlaluan jika dinyatakan bahawa ini memperlihatkan bahawa kematangan rakyat menerima PAS dan para ahlinya dalam menentukan halatuju organisasi itu.

Apabila saat kemenangan semakin tiba, dapat dirasakan atau diperlihatkan bahawa setiap sentuhan itu semakin menjadi cemerlang, seperti segalanya cukup sempurna. Bersesuaian dengan firman Allah dalam surah An-Nashr ayat 1-3 yang bermaksud:

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk ugama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dialah Maha Penerima Taubat".

Kepada rakyat Malaysia kematangan berpolitik yang dipertontonkan oleh PAS lebih meyakinkan mereka bahawa ada sesuatu yang lebih penting daripada agenda pembangunan dan perpaduan ala 'parti lawan' dalam membawa Malaysia menuju kemercu kecemerlangan.

Kerjasama dan perpaduan sebenar yang terjalin melalui persaudaraan ukhuwah Islamiyah anjuran Allah itu lebih komited kepada mereka dalam melaksanakan apa jua tuntutan kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Kepada PAS selamat bermuktamar dan tahniah dari rakyat Malaysia yang semakin mengkagumi perjuanganmu. Agenda yang lebih besar menanti di hadapan menguji kekentalan dan kejituan jihad kita kepada Allah s.w.t. ialah cabaran pemilihan oleh rakyat dalam sessi pilihanraya umum kali mendatang.

Semoga berjumpa lagi dimuktamar akan datang.

Minda Rakyat
31 Mei, 1999