Oleh Abd. Shukur Harun
Muktamar Tahunan PAS Ke-45 yang sedang berlangsung sekarang adalah muktamar terpenting disebabkan ia diadakan ketika negara di ambang pilihanraya umum ke-10. Dengan demikian semua perhatian ditumpukan kepada muktamar ini, khususnya Ucapan Dasar Presiden dan diikuti perbahasannya serta perbahasan usul-usul.
Sungguhpun muktamar kali ini ada pemilihan pucuk pimpinan, dan sekian ramai tokoh berwibawa dicalonkan, khususnya untuk Ahli Jawatankuasa Agung, tetapi semua pihak tidak melihat sebarang perebutan kuasa dalam pimpinan, jauh sekali dari lobi meboli seperti yang berlaku dalam parti politik sekular.
Malah pemerhati politik melihat PAS di bawah kepimpinan ulama', sebagai parti yang cukup kukuh perpaduannya. Dengan demikian kemantapan PAS dan kemasukan ratusan ribu ahli baru meyakinkan semua pihak bahawa ia memang mempunyai kemampuan dan kelayakan untuk memimpin parti pembangkang bagi menyediakan 'kerajaan alternatif' jika kerajaan Barisan Nasional dapat ditewaskan dalam pilihan raya umum nanti.
Tetapi seperti yang diingatkan oleh Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor dan Ketua Dewan Pemuda Ustaz Haji Abu Bakar Chik dalam ucapan masing-masing di muktamar kali ini bahawa walaupun Umno/BN menghadapi kegawatan yang amat sangat tetapi parti sekular itu tidak semudah itu untuk menyerahkan kuasa mereka. Ustaz Abu Bakar Chik pula mengingatkan bahawa kejayaan gerakan Islam memenangi hati rakyat dalam pilihan raya dianggap sebagai suatu ancaman besar terhadap survival golongan sekular yang menguasai negara umat Islam - seperti yang telah berlaku di Algeria, Turki, Mesir dan lain-lain. Pemerintah sekular di Malaysia tidak terkecuali.
Bagaimanapun, sebesar mana halangan yang dihadapi, kata Presiden PAS pula , kita mesti optimis dan membuat persiapan rapi untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum nanti. Beliau begitu terharu menyaksikan ratusan ribu mengisi borang menyertai PAS sejak beberapa bulan lalu yang terdiri dari pelbagai golongan - korporat, profesional, intelektual dan orang awam biasa, yang semuanya menggambarkan penerimaan menyeluruh pelbagai golongan masyarakat terhadap PAS.
Allah s.w.t. telah menggerakkan hati-hati yang selama ini jauh dari PAS, tetapi disebabkan pelbagai peristiwa berlaku dalam sepanjang enam bulan lalu, maka hati-hati yang jauh itu terpanggil untuk menyertai PAS. Mereka menerima hakikat bahawa isu keadilan telah diperjuangkan oleh PAS lama sebelum orang lain memperjuangkan keadilan. Malah perjuangan PAS menentang kezaliman yang dilaksanakan oleh PAS adalah kesinambungan dari perjuangan Rasulullah s.a.w. dan generasi pertama umat Islam. Demikian juga isu penyelewengan, rasuah, nepotisme telah lama dibangkit oleh PAS. Dengan demikian mereka yakin kesyumulan. PAS dan tidak mungkin ada pilihan lain untuk melaksanakan 'amal makruf nahi mungkar'.
Di masa lalu, untuk puluhan tahun PAS digambarkan oleh pihak musuh sebagai parti yang jumud, tidak berlapang dadad, parti pak lebai, anti kemodenan dan segala macam anti lain. Tetapi pihak musuh telah gagal memberikan gambaran buruk itu berterusan. Kemasukan besar-besaran pelbagai golongan - ahli korporat, profesional, intelektual, sokongan majoriti pelajar di institusi pelajaran tinggi, kakitangan swasta dan kerajaan (walaupun secara senyap-senyap) dan rakyat umumnya dengan sendirinya menafikan semua gambaran buruk itu selama ini terhadap PAS.
Sikap keterbukaan kita dengan orang di luar PAS dicerminkan dengan kesanggupan mengadakan persefahaman dengan parti pembangkang lain dan siapa saja yang berminat untuk membela kemanusiaan. PAS juga mampu melupakan pengalaman pahit masa lalu dengan golongan yang menentangnya, kerana kita sentiasa bersedia memaafkan. Persefahaman dengan parti pembangkang dan ini, seperti kata Presiden PAS dalam Ucapan Dasarnya ini tidak bererti PAS telah keluar dari orbit Islamnya, malah ia tetap berpegang teguh dengan dasarnya.
Sementara itu kehadiran pelbagai golongan ini yang merasakan cukup terpanggil untuk melibatkan diri dalam perjuangan PAS adalah panggilan kebenaran yang dirasakan oleh mereka wajib disahut. Begitu ramai anak muda yang pulang dari luar negara - Barat dan Timur Tengah - dengan tiba-tiba mengibarkan bendera PAS di kenderaan mereka dan menjadi petugas setia dalam setiap program PAS di mana saja. Ini adalah sesuatu yang sangat luar biasa, bagaimana golongan terpelajar ini berlumba-lumba untuk menyumbang bakti dalam perjuangan Islam.
Menyaksikan semuanya ini menyebabkan Presiden PAS merasa cukup terharu dengan kesedaran ini. Semakin tinggi pendidikan seseorang, semakin tinggi pemahaman mereka terhadap Islam, semakin dekat mereka kepada PAS.
Sebab itu Muktamar Tahunan PAS Ke-45 kali ini berlangsung dalam suasana yang sangat meyakinkan kemenangan gerakan Islam untuk memimpin ummah, membebaskan masyarakat dari kepompong jahiliyah-sekular kepada cahaya terang benderang.
Selamat bermuktamar!
Ihsan: Harakah