UMNO Semakin Gentar Hadapi Rakyat

Kenyataan umum Datuk Mustapha Muhammed berhubung dengan hasrat PAS membuka keahliannya kepada bukan Islam hanya untuk memancing undi, adalah satu fitnah besar bukan sahaja terhadap PAS, tetapi terhadap ugama Islam yang suci.

Datuk Mustapha disifatkan sebagai berkata,"Mereka (PAS) akan buat apa sahaja. Pada mereka, yang penting undi dan bukan untuk perjuangan rakyat atau perjuangan Islam".

"Tindakan mereka ini tidak memeranjatkan malah memperlihatkan bahawa mereka hendakkan kuasa dan ghairah," katanya.

Kenyataan Datuk Mustapha disifatkan 'mendustakan ugama dan sejarah' sebagai menolak kerjasama antara orang Islam dengan bukan Islam asal sahaja mereka tunduk di bawah pemerintahan Islam.

Sejarah perjuangan Rasululah telah membuktikan bahawa orang bukan Islam lebih senang tinggal di bawah pemerintahan Islam. Malahan kekaguman kaum bukan Islam yang kini berada di bawah pemerintahan PAS Kelantan sudah cukup membuktikan bahawa mereka sudah arif tentang Islam dan mula menerimanya.

Perkembangan isu membuka keahlian orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS tidak perlu digembar gemburkan, kerana sokongan mereka adalah ikhlas bukannya dipujuk rayuan, jauh sekali dipaksa atau 'digoda' dengan wang ringgit.

Rata-rata kaum Cina khususnya menyatakan sokongan mereka kepada pejuangan PAS dan berjanji 'confirm' pangkah PAS dalam pilihanraya umum nanti. Situasi ini boleh dilihat di mana sahaja ceramah PAS diadakan, segelintir yang hadir adalah rakan dari kaum Cina.

Minda Rakyat
31 Mei, 1999