Rasionalnya Di sebalik Mengundang Bukan Islam
Islam sebagai agama yang syumul meligkupi perjalanan kehidupan dan keperluan fitrah manusia. Seringkali manusia bertelagah sesama sendiri kerana kepentingan tertentu akibat gagal untuk memahami dan menghayati Islam. Pelbagai idea dan pendapat yang tidak disandarkan kepada Quran dan Hadis atau sejarah perjuangan RasululLah sendiri dalam menegakkan Islam dibumi Allah ini, menyebabkan manusia tenggelam dalam perjuangan mereka sebelum sampai matlamat yang dituju.
Hari ini, hanya satu-satunya parti politik di Malaysia yang mendokong Al-Quran dan As-Sunah ialah Parti Islam SeMalaysia (PAS). Ini adalah kerana PAS menjunjung tinggi kedudukan Islam ke tempat yang sewajarnya. Dengan meletakkan Al_Quran sebagai perlembagaan, maka perjalanan parti itu sentiasa mendapat pimpinan Allah dan RasulNya.
Maka dalam perjalanannya memberikan kefahaman kepada umat Islam tentang perjuangan dan jihad, setelah hampir berdiri lebih 45 tahun, PAS kian diterima oleh masyarakat Islam yang terkeliru dengan ketidaktelusannya sifat media masa lalu.
Propaganda Kerajaan yang memerintah begitu kuat menafikan perjuangan PAS dengan menggembar gemburkan isu-isu yang keliru dan mengelirukan umat Islam hanya semata-mata kerana PAS adalah saingan hebat dalam politik.
Dalam Islam sendiri, politik adalah sebahagian perjuangan RasululLah sebelum beliau wafat. Buktinya sistem pemerintahan yang cekap dan adil dilaksanakan di Kota Madinah. Perpaduan kaum Muhajirin dan Ansar dipupuk sebagai langkah awal ke arah pemantapan sistem pemerintahan Islam. Antara langkah yang diambil RasululLah ke arah ini ialah:
Langkah awal Rasulullah setelah berhijrah ke Madinah ialah mendirikan masjid yang dikenali sebagai Masjid Quba. Masjid ini adalah yang pertama didirikan dalam sejarah Islam. Ia mula dibina pada 12 RabiulAwal Tahun 1 Hijrah dan siap dibina dalam masa empat hari sahaja.
Langkah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar adalah dengan tujuan memupuk semangat perpaduan, toleransi, kerjasama dan tolong menolong antara sesama manusia. Perpaduan yang diwujudkan menghapuskan sifat dengki dan irihati serta antara satu kaum dengan yang lain.
Pengorbanan kaum Ansar begitu tinggi dalam membantu memartabatkan imej Islam di kacamata penganut ugama lain kerana dengan semangat persaudaraan yang tulen, maka mereka sanggup korbankan apa sahaja yang disayangi demi menjaga ukhuwah dengan kaum Muhajirin.
Tindakan RasululLah mengujudkan suasana tenteram dan kedamaian ialah dengan membuat perjanjian dengan kaum Yahudi yang mendiami Kota Madinah dan di sekelilingnya. Dalam intipati perjanjian ini termaktub perkara-perkara yang saling hormat menghormati kebebasan memilih cara hidup dan berugama. Kebijaksanaan ini mendapat sanjungan sebagai langkah ahli politik yang ulung dalam era mendirikan sebuah negara Islam yang berdaulah.
Antara lain isi perjanjian itu ialah:
Perjanjian ini merupakan satu jaminan dan penghormatan kepada kaum Yahudi di Kota Madinah ketika itu. Apa yang paling penting ia menjadi laluan kepada perkembangan ugama Islam. Setiap wargakota pula bertanggungjawab memelihara kedamaian dan keamanan dari musuh luar.
Hasil perpaduan dan keamanan yang diwujudkan melalui Perjanjian ini maka RasululLah berpeluang melaksanakan dasar ekonomi dan sosial untuk kemajuan umat Islam dan warga kota Madinah. Justeru itu maka dapat dilihat dalam waktu itu maka turun ayat Allah yang memerintah kepada perlaksanaan zakat, berpuasa, hukum hakam serta pelanggaran dan larangannya, jinayat dan lain-lain.
Pendek kata ayat-ayat yang turun semasa perkembangan Islam di Kota Madinah sebahagian besarnya berkaitan dengan pembinaan hukum Islam. Hukum hakam ini terkumpul dalam bentuk Wahyu (Kitabullah) dan Sunnah RasululLah (Hadis).
Dengan pembentukan dasar politik, ekonomi dan sosial ini oleh RasululLah maka semakin teguh kedudukan masyarakat Islam dari hari ke hari.
Melihat kepada realiti masyarakat Islam hari ini kerjasama yang wujud sudah dirintis oleh Barisan Alternatif. Apa yang perlu ialah pendekatan secara yang lebih baik ialah mengundang mereka turut sama berjuang dalam PAS. Tidak ada pengorbanan dasar atau perlembagaan yang perlu dikorbankan oleh PAS kerana penyertaan bukan Islam bermakna mereka 'sujud' dan patuh kepada dasar dan pemerintahan Islam.
PAS tidak perlu meminda perlembagaannya, melainkan kepada perenggan yang bersangkutan dengan syarat keahlian. Tidak ada pengorbanan dasar yang perlu dipinda melainkan kaum bukan Islam yang mahu turut serta mematuhi perlembagaan yang ada. Sesungguhnya perlembagaan PAS (Al-Quran) sesuatu yang syumul da mencakupi kaum Islam dan bukan Islam dan perkara ini ada termaktub dalam rukun Iman yang enam.
Orang Islam dan bukan Islam negara ini perlu mencontohi perjuangan RasululLah dalam menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman. Penyertaan bukan Islam adalah sama seperti perjuangan kita yang sudah lama dalam PAS, untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi Malaysia, sekiranya mereka sudah bersedia menerima PAS.
Justeru itu untuk apakah keraguan di kalangan kita umat Islam diujudkan, melainkan ianya didatangkan oleh tiupan hasutan syaitan dari kalangan yang membenci Islam dari dilaksanakan dan dari nasfu serakah yang tamak kepada kuasa dan material. Perkembangan kaum bukan Islam yang sama mahu menyokong ke arah perlaksanaan mengujudkan sebuah negara Islam mesti dinilai dalam situasi positif bukannya melihat dengan 'keraguan' walaupun sifat berwaspada mesti menjadi benteng dalam kita menyatukan kedua-dua kaum dalam perjuangan hari ini.
Setelah kita melaksanakan segalanya ini, marilah kita berserah kepada Allah selaku hambanya yang bertakwa dan kepercayaan kita kepada qadha dan qadar Allah.
Minda Rakyat
1 Jun 1999