Kerajaan BN Tidak Telus, Tidak Adil
Ketelusan dan keadilan adalah dua perkara yang tidak ada pada sifat Kerajaan Malaysia hari ini. Maklumbalas yang diterima melalui email webmaster menyatakan ketidak puasan hati mereka terhadap sikap Kerajaan yang tidak demokratik dan amat terikat dengan demokrasi 'ala Mahathir'.
Maklumbalas ini adalah merujuk kepada artikel penentangan yang dibuat oleh kalangan umat Islam sendiri terhadap perjuangan Islam di negara ini yang disiarkan dalam laman Minda Rakyat hari ini. Selanjutnya maklum balas itu menyatakan bahawa jika mereka buat 'boleh' dan jika pembangkang buat 'tidak boleh' melabelkan bahawa tidak wujud erti demokrasi sebenarnya di negara ini, apa lagi nak dikatakan sebagai kebebasan bersuara.
Ketidakadilan itu juga jelas digambarkan melalui kenyataan Pak Lah 'B' hari ini bahawa tindakan boleh diambil ke atas penceramah yang memberi ceramah berunsur menghasut, sekiranya ada laporan dibuat mengenainya.
Sebaliknya kerapkali kita melihat pemimpin UMNO menggunakan 'ugutan' ke atas para guru, kakitangan Kerajaan dan pelajar IPTA/IPTS. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan 'terlalu kebal' untuk dikritik dan para pemimpin terlalu 'angkuh' tanpa menginsafi bahawa kuasa mereka perlu diperbaharui setiap 5 tahun sekali dengan undian rakyat.
Seterusnya maklumbalas menyatakan bahawa pemimpin yang bersifat angkuh akan menerima padahnya dalam pemilihan rakyat kali ini. Mereka terlalu kebal dan seringkali berlindung di bawah Akta Hasutan ciptaan mereka untuk menyingkirkan kenyataan dan sanggahan pembangkang.
MR~1 Jun, 1999