BPR DILIHAT SEBAGAI 'ULAR KEHILANGAN BISA'

Sesekali melihat BPR (Badan Pencegah Rasuah) seperti harimau yang kehilangan taringnya. Ekoran kegagalan BPR melakukan sebarang tindakan ke atas kes DSAI dimana kes berkenaan telah diambilalih sepenuhnya oleh pihak polis. Maka tiadalah nyata taringnya BPR sebagai sebuah badan 'bebas' yang amat digeruni sedikit masa lalu.

Namun melalui kes 'Sahar Arpan' BPR menjelma kembali untuk meneruskan tanggungjawabnya serta memulihkan imej diri. BPR yang dilihat sebelum ini gagal dalam usahanya mendedahkan banyak kes penyelewengan yang melibatkan wang rakyat dan 'penyalahgunaan kuasa rakyat', perlu belajar dari pihak polis bagaimana satu kes yang rumit dapat diselesaikan dalam masa 5 bulan, iaitu selepas menghadapkan DSAI ke mahkamah mulai November, 1998 hingga Mac 1999 dan keputusan telah dibuat pada 14 April, 1999 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Namun kegagalan BPR bukan ke atas semua peringkat. Bagi kes-kes kecil yang tidak melibatkan isu politik dan VIP, keberkesanan BPR amat nyata sekali. Hanya mungkin rakyat merasakan tidak sabar apabila BPR mengemukakan kes-kes yang melibatkan para VIP termasuk ahli politik sendiri.

Penyelewengan tetap penyelewengan. Biar ia hanya satu 'kuasa' atau wang telah dianggap sama pada hari ini. Maka BPR seharusnya mengorak langkah membendung kegiatan 'penyalahgunaan kuasa' terutama kepada pihak polis sendiri dalam menangani isu rakyat berdemontrasi baru-baru ini. Ramai polis bertindak terhadap para penunjuk perasaan yang berhimpun dalam situasi aman yang bertukar menjadi kelam kabut akibat penyalahgunaan kuasa polis daripada 'memelihara keamanan negara' kepada pencetus kemarahan rakyat.

Hendaknya BPR janganlah memejamkan mata melihat segala penyelewengan daripada terus berleluasa. Apa lagi dalam menghadapi pilihanraya, BPR haruslah lebih telus lagi kerana kegiatan pihak yang 'menyogok wang untuk kuasa' adalah rasuah maha besar yang melibatkan pecah amanah hak rakyat. Jika sekadar untuk berleka BPR harus dibubarkan kerana 'patukan'nya tidak lagi bermaya seumpama 'ular yang kehilangan bisa'.

Sumber: Bekas Pentadbir