MENGAPA ORANG UMNO MELENTING PASAL SHIT

Dua hari yang lepas saya turut menjadi di antara ratusan (mungkin ribuan) rakyat Malaysia yang menulis memberi komen novelet SHIT karangan Shahnon Ahmad. Saya tergerak untuk menulis ketika itu bukannya kerana saya sudah baca tetapi bagi menjawab pelbagai tuduhan terhadap SHIT yang dikatakan terlalu lucah. Komen saya, "Bahasa Lucah – Siapa yang memulakan?" (dalam http://members.xoom.com/r4mac/28April.htm, dan https://members.tripod.com/~mahazalimtwo/ppl.html ) adalah sekitar menyatakan bahawa jika pihak yang menuduh SHIT sebagai lucah, mengapa tidak mereka bersuara membuat teguran juga terhadap bahan-bahan lucah yang lain yang banyak diterbitkan oleh Utusan. Atau bahan lucah lain-lain yang banyak diperolehi dengan mudah di gerai-gerai akhbar dan majalah

Mengapa harus orang-orang UMNO melenting dengan novelet ini sahaja?

Kalau bercakap pasal pertuturan dengan bahasa lucah, Mahathir sendiri mengucapkan istilah-istilah sedemikian. Begitu juga sepanjang perbicaraan DSAI, istilah-istilah "lucah" banyak juga disebut-sebut ketika rakyat Malaysia sedang bersama keluarga mereka menonton TV. Dan dalam perbentangan belanjawan 1999 di Parlimen Oktober lepas, dari apa yang telah disiarkan secara langsung di kaca TV dan di corong radio (kaset rakamannya boleh didapati juga), kita dapat dengar beberapa orang jurubicara UMNO mengherdik Karpal Singh dengan berbagai bahasa yang kotor dan lucah serta menghina beliau.

Mengapakah Abdullah Hussien tidak pernah membuat teguran sebelum ini? Pada masa-masa yang sebelum ini, di mana perginya mereka yang berebut-rebut memberi komen negatif terhadap karya Shahnon?

Sehingga hari ini, saya masih mencari-cari naskah novelet tersebut. Namun demikian, dengan adanya teknologi terkini, internet, saya telah dapat membaca bahagian "Mukaddimah" novelet tersebut sebanyak tujuh muka surat di https://members.tripod.com/doimoi/dm26042.html.

Amat terkejut sekali bila saya membaca Mukaddimah tersebut. Apa yang dikatakan lucah dalam SHIT saya rasa bukannya lucah. Kalau hendak dicari istilah yang lebih tepat mungkin istilah kotor lebih sesuai. Kalau lucah, mungkin buku sains yang menceritakan sistem penghadaman pun terpaksa dikategorikan begitu. Dan kalau kotor pun, kotor jugalah buku sains tersebut. Tetapi istilah kotor adalah lebih tepat.

Namun demikian, jika dibaca dan teliti (dengan berfikiran terbuka) di bahagian tersebut, Shahnon dengan jelas menerang apa yang dikarangkan beliau. Shahnon juga memberi definisi kepada beberapa istilah yang beliau guna bagi membawa perspektif yang betul kepada para pembaca.

Jika saudara pembaca membaca bahagian tersebut, sudah cukup untuk saudara faham mengapa di kalangan orang-orang UMNO, mereka begitu melenting dengan apa yang diperkatakan oleh Sasterawan Negara itu. Sememangnya ianya terkena kepada muka mereka sendiri dan terutamanya pemimpin yang mereka cuba ampu dan bodekkan. Karya tersebut mengambarkan betapa kotornya politik mereka dan betapa kotornya kedudukan mereka kerana menuruti pimpinan "kepala taik" yang diberi nama PxxxMxx alias PM.

Yang hairan Mahathir sendiri tidaklah buat komen sangat. Orang-orang yang hendak bodek dan ampu yang lebih bersungguh membela kekotoran diri mereka. Macam hendak menegak benang yang tercelup air najis. Sudahlah sukar untuk ditegakkan berbau busuk pula.

Mungkin juga mereka tidak kisah dikatakan kotor kerana ‘busuk memang busuk tapi kebusukan sudah dibudayakan’. Tetapi mereka kurang senang bila karangan tersebut menceritakan juga seorang "Wirawan" menjadi hero dan akhirnya menang. Wirawan yang sebelum ini tergolong seperti mereka sebagai "taik" tetapi telah dikeluarkan oleh "kepala taik" (PM) dan kemudiannya ‘disambut dengan mesra oleh rakyat di luar …’ dan telah pun dibersihkan dan ‘langsung dimartabatkan sebagai pemimpin rakyat di luar’.

Saya rasa karangan Shahnon ini akan benar-benar menyedarkan orang ramai betapa kotornya politik dalam "barisan taik" yang dipimpin oleh "kepala taik". Dan saya yakin mereka yang di atas pagar jika membaca dengan fikiran yang terbuka serta waras akan merobah pendirian mereka dan akan terus membenci "barisan taik". Mungkin dengan Kerajaan mengharamkan buku SHIT ini sahajalah dapat membendung karya Sasterawan Negara ini dari membuka mata hati rakyat yang masih berbelah bagi. Yang sudah jelas memang sudah lama jelas.

Maafkan saya jika istilah-istilah yang diguna dirasakan kotor. Kerana Shahnon mengatakan ‘Kebusukan itulah PM. PM itulah kebusukan. Macam mana hendak dipisahkan? PM dengan kebusukan macam garam dengan kemasinan, macam gula dengan kemanisan’.

Ibrahim Baba (IB)
29 April, 1999