SYABAS WEBMASTERS

Semalam (Rabu 28 April), Ketua Penyelaras Badan Bertindak Internet Majlis Tertinggi UMNO, Sdr. Zein Isma, menyebut bahawa terdapat sebanyak 34 Laman Web Reformasi yang boleh dicapai melalui internet.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada para webmasters. Kerana pengorbanan dan ketekunan saudara sekelian. Saudara telah berjaya menghasilkan bilangan laman yang sebanyak itu hingga merisaukan mereka. Saya rasa ucapan syabas harus diberikan juga kepada penulis-penulis sukarela yang banyak menghasil karangan-karangan yang bernas untuk dimuatkan ke dalam laman-laman web reformasi serta membantu para webmasters. Seolah-olah ada suatu rangkaian maya (virtual network) sesama webmasters dan penulis/pemberita internet yang amat akrab dan mempunyai matlamat perjuangan yang satu.

Dan yang penting sekali ialah ucapan syabas serta terima kasih untuk para pengunjung laman-laman web reformasi. Ini adalah kerena pengunjung-pengunjung, yang nyata tidak percaya lagi dengan media "rasmi" kerajaan baik dari media cetak mahupun media elektronik, telah memberi dorongan kepada para webmasters dan penulis/pemberita internet untuk terus berjuang.

Saya ingin menyeru kepada para webmasters, para pemberita dan penulis internet dan pengunjung laman-laman web reformasi supaya teruskan usaha murni untuk menyampaikan berita dan menyedarkan rakyat tentang kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh mereka yang telah diamanahkan dengan kuasa.

Teruskan pengorbanan masa dan tenaga saudara untuk menyampaikan mesej perjuangan hingga kita berjaya menumpaskan mereka yang zalim.

Berdasarkan dari kesungguhan Badan Bertindak Internet UMNO untuk memantau serta menangkis satu-satunya ruangan yang bebas untuk kita bersuara menunjukkan bahawa mereka mengiktiraf dan takut dengan sambutan dan keberkesanan internet dalam membongkar penipuan dan pembohongan yang mereka lakukan.

Hanya tinggal internet yang memberi ruang untuk kita bersuara dengan bebas. Sebagai contoh, di mana lagi saudara dapat melihat kekejaman dan keganasan polis memukul penujuk perasaan tanpa diselewengkan oleh media kerajaan selain dari internet. Gambar peristiwa-peristiwa penting telah dirakamkan oleh ramai jurukamera (oh ya syabas juga untuk mereka) reformasi tanpa rasa takut.

Dan dari sumber mana lagi dapat saudara dengar atau baca jawapan serta hujjah bagi menangkis fitnah dan tohmahan media kerajaan terhadap golongan rakyat yang tertindas? Dan dari sumber mana lagikah dapat saudara baca kepincangan pentadbiran serta komplot-komplot jahat mereka?

Kebenaran berita dan liputan yang dimuatkan dalam laman-laman web sudah ternyata. Berita PM sakit dan tenat di IJN mula dilaporkan oleh webmasters. Tidak satupun media kerajaan melaporkannya sehingga suasana sudah menjadi terpaksa. Kisah konspirators yang tumbang di Tanah Suci ternyata benar semua. Dan yang paling menonjol ialah kes mata DSAI lebam telah cuba ditipu dengan pelbagai helah oleh media kerajaan. Dalam kes ini, ternyata kesemua media kerajaan menipu (hidup-hidup).

Malangnya ramai juga rakyat yang termakan pembohongan tersebut dan menerima penjelasan oleh Mahathir bahawa mungkin DSAI memukul sendiri. Dan ini dipersetujui dan ditambah pula oleh semua sidang pengarang akhbar-akhbar kerajaan pada minggu mata lebam DSAI diketahui umum. Tetapi dalam laman-laman reformasi, sebelum DSAI dibawa ke mahkamah untuk pertama kali itu, berita DSAI dipukul sudahpun dilaporkan juga dengan meluas.

Jadi siapakah yang sebenarnya menabur fitnah dan tohmahan? Dan siapakah yang cuba menutup segala penipuan dan kezaliman supaya tidak diketahui oleh para pengundi?

Yakinlah wahai saudara sekelian. Usaha saudara semua sebagai pengujung, penulis/pemberita/jurukamera dan webmasters sehingga ini telah berjaya untuk menyedarkan ramai rakyat. Jika tidak bisakan UMNO berusaha dengan sungguh-sungguh hingga menubuh sebuah badan sedemikian dengan peruntukan puluhan juta ringgit. Bukankah wang tersebut wang kita. Wang saudara. Wang orang-orang miskin. Wang ahli UMNO yang mahu mendapat keadilan bagi mendengar dan membaca apa sebenarnya telah berlaku di sebalik fitnah dan tohmahan pemimpin-pemimpin parti.

Saudara pengujung mesti meneruskan usaha untuk setia berkunjung laman-laman web kegemaran saudara. Dan pastikan bahawa jika saudara mampu, cetakkan bahan-bahan yang baik untuk disebarkan lagi kepada saudara mara dan rakan-rakan yang tidak mendapat akses media internet terutamanya di kampung.

Kumpulkan beberapa artikel dan poskan kepada mereka. (Saya ada mengenali seorang rakan yang tiap-tiap minggu mencetak beberapa artikel dan menyalin tidak kurang dari dua puluh naskah dan diposkan kepada rakan-rakan dan saudara maranya. Ini telah beliau lakukan sejak berbulan lamanya).

Dan bagi rakan atau saudara-mara lain yang mempunyai kemudahan e-mel "forward"kan bahan-bahan yang menarik kepada mereka. Mungkin kadang mereka sibuk dan terlupa untuk melayari laman-laman reformasi sudah tentu mereka amat menghargai mel saudara. Dan ingatlah, mel-mel itu kemudiannya akan di"forward"kan lagi seperti surat berantai. Maka capaiannya amat tinggi dan berkesan.

Sebelum saya mengakhiri rencana ini, saya ingin membawa saudara untuk meneliti serta bermain dengan angka untuk membuat anggaran bilangan pengunjung laman-laman web reformasi. Ini ialah bagi memberi gambaran capaian maklumat reformasi adalah amat meluas – dan mesti diteruskan lagi.

      1. Terdapat 34 laman web reformasi.
      2. Dari bilangan tersebut, jika saya golongkan dan anggarkan "top 8" (tak perlu saya senaraikan yang mana satu) dari laman-laman tersebut dikunjungi oleh 50,000 – 100,000 pengunjung sehari (saya tahu sesetengah laman mempunyai hits melebihi 100,000 sehari – saya ambil purata 75,000 pengunjung sehari sahaja).
      3. Dan laman-laman selebihnya mungkin mendapat 5,000-15,000 hits satu hari (dan saya ambil purata pada 10,000 pengunjung satu hari)
      4. Maka, dari "top eight", 75,000 x 8 = 600,000 dan dari selebihnya, 10,000 x 26 = 260,000. Bermakna terdapat anggaran 860,000 pengunjung satu hari.
      5. Jika saya anggarkan 20 peratus pembaca mengunjungi 3-4 laman sehari (lazimnya laman "top 8") iaitu dianggarkan seramai 20% x 600,000 = 120,000. Jadi bilangan pengunjung ialah 480,000 + 260,000 = 740,000.
      6. Dan dari bilangan ini pula mungkin ada 20 peratus lagi yang melawat dua kali sehari (juga dari "top 8", maka dikurangkan lagi 20% x 480,000 = 96,000. Maka bilangan pengunjung sehari adalah seramai 384,000 + 260,000 = 644,000 orang.
      7. Bayangkan jika 20% dari mereka ini mencetak dan menyebarkan lagi berita yang diperolehi dari laman-laman tersebut. 644,000 x 20% = 772,800.
      8. Jika anda tidak begitu optimis dengan anggaran yang saya berikan, cubalah anda kurangkan separuh. Dengan bilangan 386,400 pun telah melebihi edaran Berita atau Utusan.

Bilangan capaian yang tinggi inilah yang membuat mereka yang melakukan penipuan dan kezaliman merasa bimbang dan resah. Langsung mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menuduhkan pula bahan berita dari internet yang tidak benar. Yang sebenarnya media mereka yang banyak berbohong. Media mereka yang banyak menabur fitnah.

Syabas kepada semua para reformis.

Ibrahim Baba
29 April 1999