PERKEMBANGAN 'IT' GUGAT KEDUDUKAN POLITIK MAHATHIR

Oleh SOFIAN ALIAS

Perkembangan teknologi maklumat telahpun bermula semenjak tahun 1960-an lagi. Namun begitu, perkembangannya secara mendadak telah bermula di sekitar awal tahun 1990-an. Peranan internet dalam pelbagai aspek kehidupan sudah tidak boleh dinafikan lagi. Selain daripada sumber segala maklumat internet juga memainkan peranan sebagai suatu sistem komunikasi pantas dan menyediakan prasarana perniagaan.

Walaupun dikatakan pengguna berdaftar di Malaysia hanya sekitar 200,000 orang, namun begitu pengguna yang menggunakan kemudahan ini secara tidak langsung mungkin boleh mencapai hingga berjuta orang. Ledakan teknologi maklumat ini telah membuatkan maklumat boleh dihantar kepada beribu-ribu orang secara serentak dengan hanya menekan satu butang di keyboard computer.

Kini, pengguna bukanlah hanya terdiri daripada kalangan siswa dan intelek sahaja tetapi merangkumi seluruh pelosok masyarakat di tanahair dengan adanya kemudahan Cyber Cafe di merata-rata tempat. Anak-anak muda yang dahulunya menghabiskan masa berjam-jam lamanya untuk bermain pelbagai game, kini beralih selera kepada menggunakan internet. Dengan hanya menggunakan satu akaun capaian sahaja, mereka boleh menghantar beribu-ribu maklumat kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.

Dalam tempoh enam bulan pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim sahaja, lebih kurang 29 laman web reformasi telah dibina oleh individu-individu tertentu yang mempunyai pelbagai nama samaran. Antara laman web tersebut ialah seperti laman reformasi. Anwar Online, Justice For Anwar dan lain-lain lagi. Manakala forum-forum maya juga tidak kurang diwujudkan seperti Adil-net, Gerak-net dan Sedarlah E Group.

Laman web tersebut pula di kemaskinikan setiap hari bergantung kepada sumber maklumat baru yang diterima. Daripada sekian banyak laman web pula, laman reformasi menjadi laman web yang paling popular dengan pengunjung ke laman tersebut tidak kurang dari 100,000 setiap hari. Pembina laman web tersebut pula hanya menggelarkan dirinya sebagai Mahazalim.

Forum maya yang popular pula ialah parti Gerak-net dan sedarlah E Group. Selain itu, forum-forum maya seperti Islah-net, Abimlink, Sangkancil-net dan Hizbi-net turut menyediakan ruang perbincangan yang bertaraf sederhana dalam konteks perbincangan isu semasa. Forum maya ini dikendalikan oleh pihak-pihak tertentu seperti sekretariat Gerak dan Adil bagi kedua-dua forum maya tersebut, manakala Islah-net dan Abimlink dikendalikan oleh Jim dan Abim.

Benarlah seperti yang diperkatakan oleh Bill Gates iaitu 'Content is King' atau 'maklumat adalah raja'. Dengan adanya perkembangan internet, masyarakat di dedahkan oleh pelbagai maklumat tanpa disekat, cuma yang pastinya sama ada maklumat itu benar ataupun salah.

Bagi rakyat Malaysia, dari sumber manakah lagi mereka ingin mendapatkan maklumat setelah semua media-media utama di negara kita didominasi oleh pihak kerajaan (kecuali Harakah) yang sudah tentunya menghidangkan maklumat yang menjurus kepada sebelah pihak sahaja (one side story).

Oleh yang demikian, semenjak perlucutan Dato' Seri Anwar Ibrahim, berjuta-juta orang telah beralih mencari maklumat melalui internet. Mereka ini ada yang sanggup menyimpan maklumat itu ke dalam bentuk yang lebih mudah dibaca dan kemudian diedarkan kepada masyarakat ramai.

Maklumat yang didapati oleh mereka pula bolehlah dikategorikan sebagai X-File. Ternyata semenjak berlakunya ledakan teknologi maklumat ini, satu persatu rahsia pihak kerajaan dibongkarkan kepada masyarakat. Oleh itu tidak hairanlah rakyat kini sudah menjadi rakyat yang pandai menilai dan celik dengan maklumat.

Walaupun sumber maklumat daripada internet boleh di pertikaikan namun maklumat-maklumat ini adalah bersifat bebas dan tidak dikongkong oleh mana-mana pihak. Oleh itu ia mempunyai kebebasan yang tersendiri. Kita yakini bahawa internet akan menjadi suatu ejen perubah sosio politik di negara kita pada masa akan datang.

Oleh itu tidak hairanlah jika Dr. Mahathir akan tumbang suatu masa nanti disebabkan oleh teknologi maklumat tidak seperti di Indonesia (kejatuhan Suharto). Melalui internet juga, akhbar-akhbar utama di negara ini ataupun di negara lain dapat dicapai secara online. Oleh yang demikian, masyarakat juga seharusnya tidak perlu lagi membaca akhbar-akhbar yang hanya one side story dan beralih kepada sumber akhbar yang lebih sahih seperti Harakah.

Semenjak pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja etika kewartawanan telah dicabul, malah akhbar juga telah menjadi medan propaganda politik dan kutuk mengutuk. Keaslian dan kesahihan maklumat tidak lagi dititik beratkan demi menjaga kepentingan sebelah pihak.

Cubalah kita bayangkan sekiranya setiap buah rumah di negara ini mempunyai sambungan internet. Maka sudah pasti maklumat yang hendak disampaikan juga boleh diterima secara menyeluruh. Dengan demikian juga pihak PAS, DAP, PRM dan lain-lain lagi sudah tidak perlu mengadakan ceramah di merata-rata tempat sebaliknya boleh disampaikan melalui internet (audio player).

Penulis masih ingat seorang kawan yang menyatakan bahawa internet ibarat kita tinggal di dalam sebuah rumah dan apabila jendela tingkap dibuka maka kita akan nampak ke seluruh dunia.

Begitulah pengaruh internet dalam kehidupan yang pastinya memberi impak kepada perkembangan sosio politik negara apatah lagi dunia pada masa akan datang.

Bilangan mereka yang celik IT (information technology) pula makin bertambah dari masa ke semasa. Mahasiswa dan mahasiswi di universiti pula walaupun mengambil jurusan yang tidak

berkaitan dengan IT. Namun ternyata, sebahagian daripada mereka amat mahir dalam bidang tersebut hatta membina halaman web sekalipun. Mereka inilah, apabila pulang ke kampung halaman pastinya membawa maklumat yang begitu berharga untuk disampaikan melalui keluarga.

Selain daripada itu Cyber Cafe yang berdekatan pastinya menerima kunjungan daripada mereka terutamanya semasa cuti semester.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa kesan daripada pengaruh internet juga boleh menyebabkan pelbagai impak negatif yang lain seperti membuang masa dengan terlalu lama semata-mata ingin ber'chat' dan mencari maklumat maklumat dan pelbagai gambar yang lucah.

Medan internet juga boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu dengan membekalkan maklumat yang tidak sahih. Selain itu internet juga boleh menjadi medan menyebarkan khabar angin (rumour) seperti yang berlaku di negara kita tidak lama dahulu.

Dalam konteks semasa dijangkakan akan lebih banyak lagi halaman-halaman web yang akan dibina bagi menyokong reformasi Dato' Seri Anwar Ibrahim, Gerak dan Adil. Sehingga Adil juga diberitakan bahawa pembuat laman web laman Reformasi iaitu Mahazalim sudah dua kali dipapah ke klinik kerana terlalu lama berhadapan dengan komputer semata-mata membuat laman web tersebut.

Dengan kewujudan pelbagai forum maya juga telah melahirkan individu-individu yang sanggup menyumbangkan pelbagai artikel reformasi yang menarik. Mereka ini, tidak langsung takut dengan mana-mana ancaman dan ugutan dan matlamat mereka hanyalah menuntut keadilan. Dalam pada masa yang sama terdapat juga seorang dua individu yang cuba melemahkan semangat golongan reformasi dengan menghantar maklumat-maklumat palsu dan kata-kata yang melemahkan ke pelbagai forum maya tersebut, namun ternyata usaha-usaha mereka gagal untuk memecah belahkan golongan reformasi.

Sememangnya sebagai manusia biasa, kadangkala kita di selubungi oleh rasa takut dan sebagainya. Begitulah juga yang terjadi terhadap pencipta laman web reformasi dan pengendali forum maya di internet. Namun perjuangan mereka untuk menegakkan keadilan tidak pernah luntur dek rasa takut yang terlalu mendalam.

Kita seharusnya sedar bahawa selama ini pihak-pihak tertentu sudah lama menanamkan rasa takut di hati sanubari rakyat sehingga mematikan idealisme perjuangan mereka. Selama berbelas tahun 'orang itu' memerintah sudah cukup menjadi pengajaran buat bangsa Melayu khususnya. Maka kini tibalah masanya 'orang itu' disingkirkan melalui interaksi global alam maya.

Ihsan: Harakah