BN DIAMBANG KEJATUHAN!
Tatkala kita semua akan memasuki alaf baru tak lama lagi, berbagai peristiwa berlaku seperti ada sesuatu yang tak kena dengan negara kita. Apa yang pasti, keadaan politik negara ketika ini amat tidak menyenangkan. Kalau dulu tidak pernah difikirkan politik negara akan menjadi sebegini tenat, kenyataannya sekarang kita sedang berdepan dengan suatu keadaan yang amat mencabar. Apa tidaknya, dulu tidak terlintas difikiran kita bahawa UMNO dan Barisan Nasional dikatakan tidak layak untuk memerintah negara. Bahkan, sekarang ini pun masih ada yang beranggapan bahawa hanya UMNO dan Barisan Nasional yang boleh memegang teraju pemerintahan.
Sedarlah wahai seluruh bangsaku, terutama ahli-ahli UMNO atau yang masih menyokongnya. Saya juga berasal daripada keluarga yang dulunya kuat menyokong UMNO dan menentang PAS. Kami menentang PAS kerana tidak begitu faham dengan perjuangan parti itu kerana kurangnya publisiti dan juga kerana propaganda UMNO. Bagaimana pun AlhamdulilLah, akhir-akhir ini semakin jelas keburukkan-keburukkan UMNO telah dapat dilihat manakala perjuangan PAS untuk menegakkan Islam semakin jelas.
Saudara..., kita mengaku Islam, tetapi apakah kita telah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang Islam? Selain daripada sembahyang, puasa, haji, kita juga dituntut untuk menegakkan syariat Allah termasuk hukum-hukum Islam. Apabila bercakap mengenai hukum dan undang-undang, pihak yang melaksanakannya adalah mereka yang mempunyai kuasa politik dalam sesebuah negara. Apakah mereka yang kita berikan kuasa memerintah telah melaksanakannya? Apakah kita sudah memastikan pemerintah sekarang berusaha menegakkan syariat Islam ini?
Hakikatnya, mereka yang kita berikan kuasa memerintah negara sekarang tidak berusaha kearah itu. Mereka tidak menyokong usaha-usaha meletakkan Islam sebagai 'Addeen'. Malah yang amat menyedihkan dan membimbangkan sekali Sunnah Nabi di persendakan, Ulama diperlekehkan, keadilan dinoda sesuka hati, rakyat diperbodohkan, hutang negara semakin berlambak, pemimpin semakin angkuh, masalah sosial semakin tenat, ditambah pula dengan budaya fitnah yang berleluasa.
Bukankah semua ini menunjukkan bahawa ada kepincangan yang teruk dalam perjalanan pentadbiran di negara kita?
Kita tidak sekali-kali menolak pembangunan. Tetapi apakah pembangunan itu dibuat secara menyeluruh, merangkumi semua aspek kehidupan, perlaksanaannya berasaskan Islam, mengambilkira kesannya dari perspektif Islam? yang dinikmati pula oleh semua lapisan masyarakat? Apakah rakyat di kampung-kampung juga menikmati hasil pembangunan ini?. Apakah yang diperolehi oleh rakyat di kampung-kampung daripada pembinaan Pusat Sukan Bukit Jalil, Trek lumba formula one, Lapanganterbang secanggih KLIA Sepang dan Menara Kembar Petronas?, selain terdongak melihat sahaja? Tahukah anda semua yang hampir kesemuanya dihasilkan dengan lambakan HUTANG yang akan ditinggalkan kepada kita dan generasi seterusnya?
Pembangunan sebenarnya hanya dinikmati oleh segelintir mereka yang rapat dengan pemimpin sahaja. Apalah ertinya pembangunan sekiranya ribuan rakyat semakin dihimpit kemiskinan, harga barangan keperluan melambung tinggi, subsidi petani dipotong atau dihapuskan, biasiswa pelajar ditarik balik, masalah sosial remaja yang tidak berkesudahan, kebajikan rakyat kian hari kian terabai dan lain-lain. Apalah nak dibanggakan dengan projek-projek mega yang berbilion-bilion ringgit itu?
Pemimpin pula mendabik dada mengatakan bahawa kerajaanlah yang menyediakan kemudahan itu. Dr. Mahathir pernah mengatakan bahawa sekiranya DS Wan Azizah ingin bertanding dengannya, sediakan RM800 juta untuk pembangunan UUM. Alangkah dangkal dan bongkaknya kenyataan seperti itu. Lebih menyedihkan lagi, kenyataan tersebut datang dari seorang yang bergelar Perdana Menteri! Apakah dia lupa duit itu datang dari rakyat? Apakah dia lupa bahawa rakyatlah yang telah mengangkat dia menjadi pemimpin?. DS Wan Azizah mungkin tidak ada RM800 juta, tetapi yang pastinya dia mempunyai ratusan ribu penyokong yang berjuang bersamanya tanpa perlu dibayar!
Saudara...., pada awalnya DS Anwar dipecat atas kesalahan liwat, tetapi sehingga sekarang tuduhan ini tidak dapat dibuktikan oleh pendakwa lalu mereka memutarbelitkan kes ini dengan meminda tuduhan kepada penyalahgunaan kuasa. Apakah belum jelas lagi konspirasi menjatuhkan Anwar? Sepatutnya apabila kes liwat tidak dibuktikan, maka Anwar tidak perlu dibicarakan lagi, tetapi olehkerana tujuan mereka ialah untuk menjatuhkan Anwar maka mereka meminda kes tersebut kepada penyalahgunaan kuasa. Oleh sebab itulah mereka terpaksa mendakwa juga DS Anwar atas kesalahan liwat dalam bulan Mei ini untuk cuba terus membuktikan kununnya Anwar adalah seorang peliwat. Sudah tentulah bukti-bukti baru akan dikemukakan. Apakah kita masih menaruh kepercayaan terhadap sistem perundangan negara?.
Kita telah melihat berbagai perkara-perkara pelik berlaku semasa perbicaraan kes Datuk Seri Anwar. Saksi-saksi penting tidak dibenar memberi keterangan, bukti-bukti kukuh yang dikemukakan pihak pembela dianggap tidak relevan. Beliau pula dituduh menyalahgunakan kuasa hanya dengan "mengarahkan polis meminta Azizan dan Umi Hafilda menarikbalik tuduhan keatasnya..." lalu dihukum 6 tahun penjara, sesuatu yang agak keterlaluan dan tak masuk akal. Berlambak lagi kes-kes sebelum ini yang melibatkan ahli-ahli politik terutama daripada UMNO yang mana hukuman yang dikenakan tidaklah seteruk apa yang dijatuhkan keatas DS Anwar malah ada yang tidak dibicarakan langsung. Apakah kita redha dengan perbuatan mereka? Atau cukupkah sekadar dapat makan, pakaian dan tempat tinggal maka kezaliman dan pencabulan hak dibiarkan? Apakah apabila perkara yang sama terjadi pada keluarga anda baru nak bercakap mengenai keadilan?
Pemikiran rakyat sebenarnya sudah diracun dengan kebendaan dan fahaman sekular. Dari segi pembangunan Islam sebenarnya kita telah jauh ketinggalan. Kita telah dibiasakan daripada kecil lagi cara hidup sekular. Walaupun setiap waktu kita sembahyang di surau atau masjid, tetapi isteri dan anak-anak kita dibiarkan tidak menutup aurat dengan sempurna, kita membuang masa di kedai-kedai kopi, yang wanitanya pula bersembang ditepi tangga, sesetengah kita pula berjudi nombor ekor dan sebagainya. Quran tidak pernah kita baca, apa lagi nak melaksanakannya. Cara hidup Islamkah ini? Golongan belia sering terikut-ikut budaya barat dalam gaya hidup mereka. Waktu maghrib masih dipadang bola. Inikah cara hidup yang nak kita terapkan kepada anak-anak kita dan jenerasi akan datang? Inilah dia kepimpinan sekarang, artis dibela, Ulamak diperlekehkan. Janganlah sampai hendak menyelamatkan diri, masyarakat hendak diperbodohkan, yang salah tetap akan dihukum. Tidak di dunia, di padang Mahsyar nanti.
Kita tidak pernah merasa terhina apabila media tempatan baik suratkhabar maupun TV menyiarkan gambar-gambar yang separuh bogel. Kesah-kesah artis dan lain-lain yang jatuh akhl;aknya dihebahkan sedemikian rupa manakala Ulamak digam dan dihina. Gambar aksi-aksi yang menjolok mata, gosip-gosip murahan dan sebagainya merupakan perkara biasa dalam media tanahair. Inilah hidangan kepada anak-anak muda yang akan terus hanyut dalam arus pemodenan tanpa memikirkan tentang sahsiah diri. Dan yang menyedihkan media seolah-olah mempertahankan maksiat seperti kes gambar bogel artis baru-baru ini. Kebanyakkan mereka yang ahli dalam bidang fotografi dan IT menyatakan amat sukar untuk membuktikan gambar-gambar tersebut adalah rekaan. Nampak jelas keasliannya dengan memek muka dan raut wajah yang sukar untuk dilakunkan oleh artis tersebut selain daripada beliau benar-benar melakukannya.
Berbagai undang-undang dan akta dibuat untuk menjaga kepentingan pihak tertentu. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menjadikan para pelajar kita hilang suara dan tidak dihormati lagi seperti zaman 70an dahulu. Pelajar terus ditekan dengan yuran yang berganda. Mereka yang bersuara menentang arus akan ditangkap menerusi ISA.
Pendirian masyarakat mengenai politik pula amat menyedihkan. Sebahagian daripada kita ada yang beranggapan politik merupakan sesuatu yang membuang masa. Ada pula yang beranggapan bahawa hanya UMNO dan Barisan Nasional yang boleh memerintah Malaysia. Inilah golongan yang amat merugikan sesebuah negara. Ingatlah, politik merupakan tanggungjawab semua. Kuasa merupakan sesuatu amanah yang diberikan oleh rakyat dalam sesebuah negara itu, dengan kuasa seseorang atau sesebuah kumpulan/parti itu boleh memerintah. Politik merupakan sesuatu yang suci. Manusialah yang mengotorkannya. Seandainya kita tahu pemerintah melakukan maksiat, zalim, menghina Ulamak dan mempermainkan hukum Allah tetapi kita kita masih memilih atau mengundi mereka lagi, maka ingatlah, kita akan dipertanggungjawabkan di depan Allah Subhanahuwata'ala nanti.
Pilihanraya akan diadakan tidak lama lagi. Apakah kita sudah bersedia untuk membuat perubahan? Fikirkanlah masak-masak. Apakah kita biarkan saja mereka menongkat langit menggunakan kekayaan negara untuk pihak-pihak tertentu sahaja? Apakah kita masih percaya berita-berita dari media tempatan yang merupakan ejen propaganda mereka? Sudahlah, cukup! Telah tiba masanya, kita tidak mampu untuk terus bersubahat dengan mereka. Laksanakanlah PERUBAHAN dengan memberi sokongan kepada PAS dan Parti-parti yang bersekutu dengannya. Berilah peluang kepada mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan keadilan membuktikan kebolehan mereka memerintah negara Malaysia tercinta.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu bangsa itu melainkan bangsa itu sendiri yang mengubah nasib mereka. Malaysia negara kita dan kitalah yang bertanggungjawab mencorakkannya sehingga tertegaknya sebuah Daulah Islamiyah seperti yang dituntut oleh Allah 'Azawajala. Inshallah....
HolyRebel
1 Mei 1999.