PELAN BERTINDAK KERAJAAN UNTUK MEMECAHKAN KUBU PAS
Antara fakta yang harus menjadi agenda hari muka PAS khususnya, jika UMNO memenangi pilihanraya umum kali ini ialah wujudnya 1001 pelan bertindak untuk meruntuhkan kubu PAS yang menjadi ancaman kepada UMNO.
Antara pelan bertindak yang akan dikemukakan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri Perak ialah berhubung dengan Rancangan Penempatan Semula di bawah Rancangan Tempatan Lembah Beriah.
Lembah Beriah meliputi satu kawasan seluas 15,797.86 hektar yang meliputi Mukim Beriah, Mukim Gunung Semanggol, Mukim Selinsing dan sebahagian Mukim Bagan Serai. Pada masa ini nama Lembah Beriah tidak sehebat Lembah Kinta yang terkenal dalam bidang perlombongan timah negara, hingga mengharumkan Tanah Melayu di mata dunia.
Namun Gunung Semanggol mungkin lebih dikenali oleh rakyat Malaysia kerana dari lokasi ini lahirnya tokoh-tokoh ugama dan ulama besar. Banyak sekolah ugama (sekolah pondok) di dalam kawasan Gunung Semanggol dan keadaan ini telah melahirkan lebih banyak ilmuan dalam bidang agama yang tersisih dari dunia sekularisme ciptaan barat.
Rata-rata penduduk Lembah Beriah yang meliputi Bukit Merah, Semanggol, Simpang Empat, Sg. Gedong, Changkat Lobak, Bagan Serai hingga ke sempadan Bandar Bharu Kedah masih mengekalkan hidup cara tradisi Melayu dengan penghayatan terhadap ugama Islam sebagai batas sosial yang amat didokongi waktu ini. Keadaan ini boleh menjadi ancaman politik kepada pihak tertentu kerana majoriti penduduknya sekitar 150,000 orang (bancian 1991) memihak kepada parti pembangkang.
Hanya kerana keujudan 'taktik' pemecahbelah undi samada oleh pihak berkuasa (SPR) di bawah tajaan Kerajaan UMNO, Lembah Beriah masih di bawah pengaruh UMNO. Keadaan ini agak janggal kerana majoriti masyarakat Islam Lembah Beriah amat kuat berpegang kepada PAS sebagai wadah juang siasah mereka.
Misi pihak Kerajaan Negeri Perak untuk menjadikan Lembah Beriah sebagai pusat pembangunan Industri berteknologi tinggi khususnya Industri Teknologi Telekomunikasi dan Informasi (ITTI) tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak bagi memelihara kebaikan bersama. Rakyat tidak seharusnya 'melihat' pembangunan berdiri di kawasan ini sambil berpeluk tubuh kerana kemajuan yang berlaku akan meruntuhkan 'nilai tradisi' budaya hidup masyarakat setempat.
Namun rakyat tidak 'enak' bertindak menentang arus pembangunan. Hakikatnya rakyat harus sedar bahawa tiap pembangunan yang dilakukan hakikatnya akan mengorbankan ciri-ciri ketimuran dan nilai estetik keMelayuan kerana arus pembangunan negara yang tidak boleh kita nafikan hari ini berkecenderungan bertuhankan kebendaan dan materiliastik.
(bersambung)
sumbangan: Bekas Pentadbir
6 Mei, 1999