LEMBAH BERIAH: SATU CABARAN KEPADA PIMPINAN PAS

Hari ini Lembah Beriah adalah umumnya kawasan Jelapang Padi Negeri Perak Darul Ridzuan. Namun sebagai makanan asasi, keperluan asas itu masih tidak mencukupi dan perlu diimpot. Sudah pasti dasar kerajaan negeri tidak memihak kepada keperluan sebenar kerana agenda di hadapan lebih menarik dan menjanjikan seribu pengertian.

Bandar Tasik Bukit Merah sudah boleh dijadikan sandaran dan ukuran perlaksanaan dan kejayaan Rancangan Tempatan Lembah Beriah (RTLB). EmKay terpaksa berkerja keras memastikan pelaburan yang dibuat dan nyata projek itu belum menjanjikan 'syurga' kepada pelaburnya.

Ikhsan kemerosotan sambutan yang diberikan oleh penduduk setempat dalam Bandar Tasik Bukit Merah, memaksa Tan Sri Ramli 'membalas budi' EmKay Hodings dengan sebidang tanah di Mukim Ulu Kinta yang sedang dimajukan sebagai sekim perumahan bercampur.

Dalam mengujudkan hierarki ruang perniagaan dan perdagangan, proses pengagihan ruang lantai akan berlaku. Kemasukan beramai-ramai oleh pihak luar yang membawa modal, akan menggadaikan setiap inci ruang niaga kepada 'kuasa lain' di Lembah Beriah. Akibat dari ketidakmampuan orang Melayu, maka mereka akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan yang berlaku.

Begitu pula dengan tindakan mempelbagaikan insdustri pembuatan di kawasan ini harus dikaji sedalam-dalamnya agar menjamin penyertaan bumiputera tempatan. Kaum bumi yang bukan sahaja menghadapi masalah modal, namun juga menghadapi masalah pengalaman dan pengurusan yang cekap.

Peluang dan kemudahan yang ada dalam sektor perdagangan juga perlu menjamin penglibatan kaum bumiputera agar tidak keciciran.

Pembangunan RTLB akan memakan tiga fasa utama mengikut jangka waktu yang ditetapkan. Sasaran mereka ialah mencapai matlamat seramai 54,000 orang penduduk pada tahun 2010 yang merupakan tambahan kepada 25,000 orang penduduk yang bakal dicapai oleh Bandar Tasik Bukit Merah. Ini bermakna sekurang-kurangnya 75,000 orang pengundi akan mendiami kawasan ini yang akan terus menjamin perkembangan politik masih di tangan BN/MCA.

Sesungguhnya Lembah Beriah akan bertukar wajah dari kawasan 'Jelapang Padi' negara yang menghijau kepada 1001 wajah-wajah baru yang bakal menjajah secara terhormat. Akan terhapuslah sedikit demi sedikit pengaruh agama Lembah Beriah dengan kehadiran budaya baru sekular yang pasti lebih mendapat tempat insan yang mengejar duniawi.

Bagaimana mahu kita pertahankan, antara kemajuan di ambang mata dengan tradisi yang kian tunduk menyembah bumi. Akan semakin pupuskan pengaruh PAS di Lembah Beriah angkara kemajuan yang menjolok mata?

Sumber: Bekas Pentadbir
7 Mei, 1999