AWANG SULUNG MENYALAHI FAKTA!
Memang benar catatan sejarah campurtangan pihak ketiga membawa kehancuran dalam pemerintahan dan politik tempatan. Namun sikap terburu-buru Awang Sulung (AS) menilai dan memperbandingkan antara sejarah dan peristiwa semasa (dalam bisik-bisik mingguannya) dalam ertikata sebenarnya hanyalah satu kekeliruan yang boleh menghancurkan kesucian minda AS sendiri dan rakyat yang tak berdosa.
Saya bukan bermaksud membela DSWA tetapi rakyat yang rasional mindanya akan memikirkan bahawa terlalu banyak penyelewengan kuasa di negara ini yang akhirnya juga membawa kepada penyelewengan minda untuk menegakkan khurafat di alaf baru, iaitu hanya Dr. Mahathir pemimpin sanjungan, bukan lagi rasululLah s.a.w.
Kehadiran DSWA ke Manila adalah atas undangan atau jemputan. Beliau dianugerah "Women of Malolos" sebagai satu penghargaan kepada perjuangannya menentang kezaliman yang telah menimpa suaminya. Anugerah berupa satu tiupan semangat. Hanya semangat yang dibawa balik beserta ide bagaimana menghancurkan kezaliman dan meruntuhkan 'thagut' yang berada dalam dada rakyat Malaysia yang masih mengatakan Mahathir itu Kerajaan dan Kerajaan itu Mahathir!!!
Jika AS mengukur bahawa kehadiran DSWA mengundang campurtangan asing (iaitu Filipina), harap AS lebih memahami bahawa di Filipina sendiri yang bukan merupakan kuasa besar dengan kelengkapan tentera yang sofistikated. Hanya perasaan simpati yang dihulur sesuai dengan ungkapan perbidalan 'berat mata memandang, berat lagi bahu memikul!'
Dalam sistem pentadbiran negara kita, perubahan pemerintahan hanya dibuat setiap 5 tahun sekali iaitu melalui proses pilihanraya. Maka adakah merupakan satu kesalahan bagi seseorang berkempen sebagai salah satu perlaksanaan demokrasi yang sihat di negara ini.
Dari segala 'road show' yang telah dilakukan oleh DSWA beliau telah diamati oleh beberapa pihak tentang kegigihannya dan kecekalannya. Maka anugerah sepatutnya diberi oleh rakyat negara ini sendiri di atas ketabahannya serta sokongan padu rakyat yang mahu kezaliman ditolak.
Namun tidak terserlah simpati yang berlebihan, melainkan oleh insan yang telah pernah melalui peristiwa yang sama. Qory Aquino amat memahami perasaaan DSWA yang sama senasib dengannya hingga suaminya Beguino Aquino diasingkan dan dicampakkan di negara buangan. Sekembalinya beliau dari buangan, beliau ditembak mati di apangan terbang, sebelum sempat memeluk isteri atau disambut para penyokongnya. Kejadian ini berlaku di hadapan puluhan kamera telivisyen yang menyambut kepulangan beliau. Itu kejadian yang berlaku di bawah regim Marcos.
Apakah kita mahu keadaan yang sama berulang di negara kita di bawah regim Mahathir? Selepas keadilan tidak disempurnakan, DSAI dicampak ke tempat buangan iaitu dipenjara Kajang selama 6 tahun dan entah berapa tahun lagi atas khurafat tuduhan liwat dan bersenggama dengan lelaki!!
Pertelingkahan yang tercatat dalam lembaran sejarah, berlaku kerana tiada proses demokrasi dan sistem yang betul untuk berkuasa. Siapa yang lebih gagah akan menjadi tuan dan yang lemah menjadi hambanya. Perebutan kuasa itu juga kerana 'wang'. Apakah AS mahu mengakui bahawa perebutan kuasa di negara ini ia juga kerana wang? Itu hakikat yang berlaku, tetapi sering dinafikan oleh pimpinan.
DSAI semasa memegang teraju TPM dan Menteri Kewangan merasa bertanggungjawab terhadap senario kemelesetan ekonomi. Namun beliau berpendirian menolak pelawaan IMF (bukan menerima seperti dakwaan AS) kerana menerima bererti menambahkan bebanan hutang negara untuk hanya menyelamatkan beberapa syarikat korporat yang bankerap termasuk Renong dan suku sakatnya.
Hendak diambil dari Tabung Rakyat seperti KWSP, LUTH dan Petronas, DSAI enggan kompromi. Lalu tindakan yang senang di kacamata Diktator Mahathir hanya dengan menyingkirkan DSAI, dan wujudkan pertuduhan thaghut supaya rakyat Malaysia turut mencemuh DSAI.
Tidak setakat itu sahaja, selepas DSAI dipinggirkan dari persada pentadbiran dan pemerintahan negara, Diktator Mahathirlah yang ke sana ke mari meminta wang. Beliau ke Jepun dan Brunei bagi mencapai hasrat meminjam wang. Mahathirlah yang sebenarnya mahu negara lain campurtangan dalam halehwal pentadbiran dan kewangan negara kerana mahu menyelamatkan syarikat koporat anak-anak dan kroninya.
Tidak salah pada pandangan saya jika AS mahu memihak kepada sesiapa, tetapi jangan menyalahi fakta. Amat lemah tuduhan AS itu yang cuba mendapat simpati rakyat sehingga menafikan hak dan kebebasan bersuara. Sudahlah AS tidak tahu menghargai kegigihan dan kecekalan seseorang, ada yang mahu memberi penghargaan dikhianati keikhlasan mereka. Pendekata dari saya, jika AS tak mahu beriman, janganlah dengan pena anda menyesatkan orang lain pula. Memang dasar Melayu tak beriman penuh rasa hasad dengki sesama manusia!!!
PENUMBUK SULUNG