MENGAPA KAUM INDIA MESTI SOKONG KERAJAAN ALTERNATIF ?

Saya amat tertarik dengan tulisan TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF di dalam ruangan MIN AINA ILA AINA yang bertajuk "Cara menjamin kerusi India di Parlimen" (10/5/99). Kaum India sepatutnya menyedari bahawa UMNO sekarang ini diambang kejatuhan dari kerusi pemerintahan dan UMNO adalah penghakis ketuanan Melayu. Penghakisan ketuanan Melayu ini dipraktikkan oleh UMNO dari dulu lagi dengan memberikan kawasan DUN dan Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu kepada MCA, MIC dan Gerakan. Ini menyebabkan berkurangnya kerusi DUN dan Parlimen untuk orang Melayu dan bumiputra lainnya. Dengan kesedaran yang meningkat, orang Melayu tidak akan lagi mengundi calon MIC, MCA atau Gerakan yang bertanding di kawasan majoriti Melayu jika lawan mereka adalah orang Melayu. Ini adalah sebagai langkah untuk mengekalkan ketuanan Melayu.

Dengan mengambil kira bahawa tidak ada satu pun kawasan DUN (kecuali Carrey Island di Selangor dijadikan kawasan DUN terkecil) apalagi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi kaum India, perwakilan kaum India di DUN dan Parlimen pada satu masa nanti akan turun mencecah angka sifar. Mereka tidak akan mempunyai perwakilan di DUN dan Parlimen. Satu alternatif yang terbaik ialah dengan memberi sokongan kepada kerajaan alternatif dimana kaum India akan mendapat tempat di DUN dan Parlimen secara lantikan tanpa kawasan. Mengapa orang India mesti mengambil risiko dengan bertanding di kawasan bermajoriti pengundi Melayu? Mungkin mereka boleh memenangi beberapa kawasan dalam pilihanraya kali ini, tetapi tiada jaminan mereka akan mengekalkan bilangan mereka di DUN atau Parlimen di masa akan datang. Kaum India patut menyedari bahawa orang Melayu akan akhirnya memilih Melayu juga sebagai perwakilan mereka untuk mengelakkan penghakisan ketuanan Melayu. Sekarang ini, tahap kesedaran berpolitik orang Melayu sedang meningkat terutamanya dikalangan generasi muda. Tidak ada gunanya PPP melalui Kaveas memohon 3 kawasan Parlimen dan berbelas DUN dalam pilihan raya kali ini jika mereka tidak mendapat sokongan Melayu. Apalah sangat yang dibanggakan dengan keahlian seramai 250K di dalam PPP jika tidak ada satu kawasan pun bermajoriti kaum India?

Begitu juga kaum Cina. Tidak ada jaminan bahawa orang Melayu akan terus mengundi MCA atau Gerakan yang bertanding dikawasan majoriti Melayu. Mereka harus menyedari bahawa wujudnya kawasan majoriti Cina pun adalah disebabkan oleh toleransi UMNO yang hendak membeli undi mereka kerana UMNO itu sendiri telah ditolak oleh orang Melayu. BN terlalu bergantung kepada undi Cina dan India untuk memenangi pilihanraya selain dari pengundi hantu dan jin. Itu sebabnya persempadanan kawasan DUN dan Parlimen sentiasa diubah apabila BN gagal memenangi sesuatu kawasan. Lihat sahaja persempadanan DUN Sijangkang di Selangor. Apabila BN tewas kepada S46 pada pilihanraya 1990 (Melayu Sijangkang sebenarnya pada masa itu menolak calon Cina dari MCA), SPR telah mengubah persempadanan dengan memasukkan Carrey Island (ada 3000 pengundi India) dan Pendamar yang dulunya di bawah kawasan Kelang dan hasilnya BN memenangi DUN tersebut melalui Dato Fatah (bersihkah orang ini? Lihat harta-harta yang dikumpulnya selepas menjadi wakil rakyat - lihat motosikal besarnya, lihat Pajero, Mercedes, beberapa buah kereta dan rumah dan berbagai hartanah lagi kepunyaannya). Melayu di DUN Sijangkang kini mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai hak mereka dan mengenai ketuanan Melayu. Untuk pilihanraya kali ini, jika pertandingan adalah diantara Melayu BN (yang mungkin diwakili oleh Fatah) dan Melayu Islam Parti Alternatif, calon Parti Alternatif akan menjadi pilihan utama.

Perlantikan beberapa MP Tanpa Kawasan (bilangannya boleh ditentukan kemudian) untuk kaum India boleh menjamin bilangan perwakilan mereka di DUN dan Parlimen. Tidak timbul soal tiada keadilan atau demokrasi kerana meletakkan calon MCA, MIC atau Gerakan di kawasan majoriti Melayu itu sendiri adalah tidak demokratik!

Salah seorang MP Tanpa Kawasan ini boleh dilantik menjadi Menteri Hal-Ehwal Kaum India seperti yang dipraktikkan di Singapura dimana seorang MP Melayu dilantik untuk menjaga kepentingan orang Melayu. MIC atau PPP tidak perlu mengambil risiko bertanding di kawasan Melayu dan tidaklah perlu Menteri Tol kita mendabik dada dengan mendakwa beliau mendapat kepercayaan pengundi Melayu. . Itu semua adalah sementara dan tiada jaminan untuk sokongan itu berterusan. Melayu kini telah mengubah selera kepada kerajaan alternatif. Yang penting kaum India masih boleh berpolitik dan bilangan perwakilan mereka di DUN dan Parlimen adalah terjamin.

Kaum India harus ingat bahawa semua kerusi perwakilan mereka adalah untuk kawasan majoriti Melayu – arus perubahan sedang dan terus akan berlaku. Jika orang India masih lagi bersama UMNO dan BN bererti mereka menempah masa depan yang gelap gulita.

Sumber: citihajar
12 Mei, 1999