Strathisla Mangsa 'Kebuasan' PCB
Menyingkap di sebalik tadbir pembangunan laungan TSR Marcos yang sudah menerajui pemerintahan negeri Perak lebih tiga penggal lalu, situasi yang mencengkam kehidupan rakyat menjadi semakin sukar, seolah-olah bernafas dalam lumpur.
Gambaran kata-kata ini lebih menjurus kepada permasalahan rumah dan pengagihan hartanah kepunyaan negeri semakin berleluasa penyelewengannya hingga tidak lagi dapat digambarkan dengan kata-kata kezaliman yang mencengkam hidup rakyat.
Dalam laporan khas kali ini Minda Rakyat menyingkar tabir kehidupan 80 buah keluarga India yang masih menghuni di Ladang Strathisla, Chepor (dekat persimpangan tol Ipoh - Changkat Jering.
Menurut maklumat yang disampaikan, pekerja ladang itu yang jumlahnya melebihi 200 orang sudah menetap di ladang berkenaan sejak 3 generasi lalu. Mereka menumpang rumah pekerja ladang yang disediakan oleh majikan mereka Golden Hoop. Di samping itu, sebuah sekolah turut didirikan sebagai kebajikan anak-anak pekerja dan sebuah kuil Hindu juga untuk keugamaan mereka.
Justeru akibat dari agenda pembangunan anjuran Perampas Kekayaan Negeri Perak (PKNP) melalui anak syarikatnya Perak Corporation Berhad (PCB atau sekarang dikenali Penyamun Cantas Bangsa) ladang Strathisla telah bertukar tangan dari Golden Hoop kepada PCB.
Malangnya dengan pengalihan kuasa ini PCB tidak mahu bertanggungjawab terhadap kebajikan 80 buah keluarga India terbabit, sebaliknya meminta mereka mengadu nasib kepada Golden Hoop. Saling elak mengelak, akhirnya nasib 80 buah keluarga masih terumbang ambing tak tentu keruan.
Kini penduduk ladang berkenaan sudah memfailkan tuntutan mereka di Mahkamah Sesyen Ipoh seminggu yang lalu berhubung dengan arahan perpindahan yang mereka terima kerana PCB sudah mempunyai agenda yang lebih besar untuk membangunkan kawasan tanah Kerajaan beribu-ribu hektar di kawasan tersebut dengan nama Program Pembangunan Meru Raya.
MR~2 June, 1999